RITA di perbicaraan kes tuntutan nafkah anak di Mahkamah Syariah. FOTO Saddam Yusoff
RITA di perbicaraan kes tuntutan nafkah anak di Mahkamah Syariah. FOTO Saddam Yusoff
Oleh Nor Azura Abdul Jalil

zura_jalil@hmetro com.my

Petaling Jaya: Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari, di sini, hari ini, memerintahkan pemain pertahanan skuad Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Aidil Zafuan Abd Razak, 28, membayar nafkah dua anak lelakinya sebanyak RM3,000 sebulan.

Hakim Syarie Abdul Halim Abu Samah memutuskan demikian selepas meneliti tuntutan dan keterangan serta dokumen yang dikemukan Zafuan dan bekas isterinya, pelakon Rita Rudaini atau Rita Rudaini Mokhtar, 39, di mahkamah.

Abdul Halim juga memerintahkan Aidil Zafuan membayar jumlah itu ke dalam akaun bank milik bekas isterinya itu selewat-lewatnya sebelum 5 haribulan bermula Februari ini.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua pihak membayar kos.

Rita yang reda dengan keputusan mahkamah itu berkata, jumlah itu adalah mencukupi untuk perbelanjaan dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 6, dan Airit Qaqa Arjuna, 4.

"Bagaimanapun, saya akan memfailkan permohonan untuk perubahan nafkah anak dalam masa terdekat sejajar dengan keperluan anak-anak saya termasuk perbelanjaan tahunan dan pendidikan,” katanya.

Terdahulu, dalam penghakimannya, mahkamah menolak tuntutan Rita, selaku plaintif berkaitan dengan bayaran susu, lampin pakai buang, makan minum serta pengasuh berikutan ia tidak selari dengan dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati terdapat kewajaran untuk tuntutan perubatan yang dikemukakan plaintif kerana ia adalah keperluan asas walaupun plaintif gagal membuktikan anak-anaknya mendapat rawatan secara konsisten setiap bulan.

Mahkamah juga mendapati menjadi kewajaran untuk defendan membayar sewa rumah RM3,000 sebulan untuk rumah yang didiami plaintif dan anak-anaknya kerana tiada tindakan diambil oleh defendan untuk memindahkan mereka daripada rumah itu.

Rita memfailkan tuntutan nafkah RM5,392 sebulan untuk dua anak lelakinya pada 8 November 2012.

Tuntutan itu merangkumi perbelanjaan makan dan minum, lampin pakai buang dan pengasuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 8:41 PM