Rita (kiri) dan Elly sambut baik sekatan bank terhadap suami yang gagal beri nafkah. FOTO fail HM Digital
Rita (kiri) dan Elly sambut baik sekatan bank terhadap suami yang gagal beri nafkah. FOTO fail HM Digital
Sudirman Mohd Tahir


“LIMA tahun saya berjuang menuntut hak. Ia bukan satu proses yang mudah untuk saya apatah lagi anak-anak masih kecil ketika itu. Alhamdulillah, saya dapat juga hak sepatutnya walaupun tidak seperti yang dituntut,” kata pelakon popular, Rita Rudaini yang menyambut baik cadangan kerajaan mengenakan sekatan bank terhadap suami yang gagal memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak selepas perceraian.

Rita, 42, cadangan itu adalah satu tindakan bijak dan sewajarnya bagi membela nasib ibu tunggal.

“Ini yang kita inginkan. Sepatutnya dari dulu lagi kerajaan patut laksanakan perkara ini. Kalau boleh sekat dari ke luar negara supaya mereka tak boleh lari.

“Bukan saja saya, tetapi ramai lagi wanita atau ibu tunggal mengalami nasib yang sama. Lebih malang ada bekas suami yang lari tanpa membayar satu sen pun. Akhirnya, wanita yang teraniaya terpaksa menanggung beban seorang diri kerana perlu membesarkan anak.

Rita berkata, dia mengeluarkan kos hampir RM300,000 bagi membayar kos guaman membabitkan enam tuntutan terhadap bekas suami yang juga pemain bola sepak popular Aidil Zafuan Abd Razak.

Antaranya, kes tuntutan mutaah, edah, nafkah anak, dua kali kes hak penjagaan anak dan pengesahan perceraian.

“Saya bersyukur semuanya selesai tahun lalu. Walaupun jumlah yang diputuskan mahkamah tidak seperti apa yang dituntut, sekurang-kurangnya saya boleh menarik nafas lega. Akhirnya, perjuangan selama ini tidak sia-sia,” katanya.

Dalam masa sama, Rita turut mencadangkan bekas suami yang gagal menjalankan tanggungjawab supaya tidak dibenarkan berkahwin lain.

“Selagi bekas suami ada rekod buruk terhadap bekas isteri seperti gagal beri nafkah anak, pejabat agama tak boleh benarkan mereka berkahwin baru.

“Secara logiknya, jika mereka boleh kahwin lain sepatutnya tidak timbul masalah nak bayar nafkah. Berkahwin adalah tanggungjawab dan nafkah anak juga satu tanggungjawab. Jadi, perlu berlaku adil untuk semua pihak,” katanya.

Hasil perkahwinan Rita dan Aidil, mereka dikurniakan dua anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7.

Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, kerajaan sedang memperincikan pelaksanaan penguatkuasaan keadilan syariah yang memberi tumpuan kepada wanita yang diceraikan dan tidak mendapat pembelaan.

Beliau berkata, ramai lelaki yang gagal berbuat sedemikian selepas berlaku perceraian.

Sementara itu, pelakon dan penyanyi Elly Mazlein, 38, menyifatkan ia perkhabaran gembira buat dirinya dan semua ibu tunggal.

“Saya sangat gembira dengan cadangan ini. Saya berharap ia dapat dilaksanakan segera sebab golongan senasib saya perlukan pembelaan.

“Apabila berlaku perceraian, bekas suami perlu bertanggungjawab dan bukannya tinggalkan beban kepada bekas isteri.

“Saya percaya, khabar ini disambut baik oleh semua ibu tunggal yang senasib. Sekurang-kurangnya bekas suami patut sedar akan tanggungjawab mereka,” katanya.

Elly yang bercerai dengan pengarah Azmi Hatta tiga tahun lalu berkata, bekas suaminya itu masih gagal memberi nafkah anak, Putri Sara Sefhia, 2, berjumlah RM1,500 sebulan seperti diperintahkan mahkamah.

“Saya berhabis banyak untuk kes ini. Tahun depan, anak akan berusia tiga tahun dan masuk sekolah. Takkan saya kena berdepan masalah sama lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 9:08 PM