PIYA (empat dari kiri) bersama  ahli Kelab Penyokong  TRW Agenda menunjukkan laporan polis mengenai viral  palsu kemalangan mautnya di Balai Polis Kota Bharu, semalam.
PIYA (empat dari kiri) bersama ahli Kelab Penyokong TRW Agenda menunjukkan laporan polis mengenai viral palsu kemalangan mautnya di Balai Polis Kota Bharu, semalam.
Oleh Rosliza Mohamed


Kota Bharu: “Saya sediakan memaafkannya jika individu berkenaan tampil dan mengaku kesalahannya,” kata kapten bola sepak Kelantan, Mohd Badhri Radzi, 34.

Badhri atau mesra disapa Piya berkata, penyebaran viral itu bukan saja menyusahkan dirinya, malah turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan keluarga, rakan sepasukan, pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) serta peminat.

Katanya, sehingga kini masih ada pihak yang menghubunginya untuk mengetahui perkara sebenar.

“Saya akui kurang selesa dan sedikit tertekan berikutan penyebaran viral berkenaan. Ibu bapa saya antara yang bimbang dengan keselamatan saya semalam.

“Saya sendiri tidak pasti mengapa dia berbuat demikian. Tapi, saya sedia memaafkannya sekiranya dia sanggup bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu jam 1 tengah hari di sini, semalam.

Kelmarin, viral berhubung kematian Badhri itu mula tersebar di Facebook sejak tengah hari apabila individu yang memuat naik status itu menulis ‘Allahuakbar! Innalillah. Kapten kito x dok doh, baru sakni excident di KB. Harap semua bersabar.’

Turut disertakan gambar Badhri dan kereta berwarna merah yang dikatakan milik pemain tengah Kelantan itu.

Badhri berkata, dia berharap laporan polis yang dibuat itu dapat menenangkan semua pihak selain berharap pihak tertentu dapat menjalankan siasatan lanjut berhubung viral palsu berkenaan.

“Saya berharap perkara itu tidak berulang kerana hal berkaitan mati bukan boleh dibuat main,” katanya.

Sementara itu, Kelab Penyokong The Red Warriors (TRW) Agenda turut membuat laporan sama kira-kira jam 11.30 pagi, semalam.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu Superintendan Setapa Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

“Perkara ini kita akan rujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:13 AM