Agensi

London: Pemain baru Manchester City, Wilfried Bony terdesak untuk memenuhi impian beraksi dalam Liga Juara-Juara.

Bony melengkapkan perpindahan dari Swansea ke City minggu lalu dengan bayaran yang boleh meningkat kepada £28 juta (RM153 juta), namun dia hanya boleh beraksi untuk kelab barunya selepas balik daripada tugasan pada Piala Negara Afrika.

Penyerang Ivory Coast itu mendedahkan dia menolak tawaran kelab lain kerana mahu bermain dalam Liga Juara-Juara.

Blues dijangka menyenaraikan Bony dalam skuad Eropah dan dia boleh beraksi pada pertembungan pusingan kedua menentang Barcelona bulan depan.

Sepanjang karier Bony, dia hanya mampu menonton kelab ternama bertanding pada Liga Juara-Juara dan kini terdesak untuk memperagakan aksinya.

“Saya belum pernah bermain dalam Liga Juara-Juara. Saya memang mahu merasai pengalaman itu,” ujar Bony.

“Saya mahu turun ke padang, bukannya hanya menyaksikan di kaca televisyen.

“Ia motivasi yang bagus buat saya.”

Keupayaan Bony menyumbat 20 gol pada 2014 menjadikannya sasaran City, yang membenarkan Alvaro Negredo berpindah ke Valencia pada musim panas lalu.

Bony membayangkan pasukan lain turut berminat terhadapnya, namun dia hanya memikirkan untuk bersama City.

“Saya tidak tahu sekiranya patut memilih pasukan lain. Saya fikir ini kelab terbaik buat saya.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 7:29 AM