London: Wilfried Bony dilaporkan semakin hampir untuk melengkapkan perpindahan bernilai £30 juta (RM160.8 juta) dari Swansea City ke kelab juara bertahan Liga Perdana Inggeris Manchester City dan wakil pemain itu menjangkakan semua dokumentasi berhubung aktiviti itu akan diselesaikan sehari dua lagi.

Penyerang Ivory Coast berusia 26 tahun itu berpindah ke Wales dari kelab Belanda Vitesse Arnhem pada 2013 dan tujuh minggu lalu, dia melanjutkan kontrak bersama Swansea hingga 2018.

Tetapi ejen pemain berkenaan, Francis Kacou berkata: “Proses perpindahannya akan dilengkapkan dalam masa terdekat.”

Bony yang akan beraksi di Piala Negara-Negara Afrika di Equatorial Guinea bulan ini berkata, dia tidak sabar untuk beraksi di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara bersama skuad kendalian Manuel Pellegrini.

“Semua orang mahu beraksi di Liga Juara-Juara serta Piala Dunia. Ia adalah impian setiap pemain bola sepak,” kata Bony.

“Apabila anda beroleh peluang sedemikian... ada kalanya ia menjadi dan ada kalanya tidak tetapi saya mahu mengambil cabaran itu. Ketika ini saya sedang menumpukan perhatian kepada skuad kebangsaan dan mahu menunggu apakah perkembangan selanjutnya.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 6:03 AM