Tonggak Atletico Madrid Antoine Griezmann
Tonggak Atletico Madrid Antoine Griezmann
AFP

Madrid: Atletico Madrid mampu tersenyum apabila menerima kunjungan naib juara Liga Juara-Juara Inter Milan awal pagi Khamis ini selepas ayam tambatan mereka Antoine Griezmann besar kemungkinan kembali daripada kecederaan.

Anak buah Diego Simeone tumbang 1-0 di Milan bulan lalu pada aksi pertama pusingan 16 terakhir dengan Griezmann cedera buku lalinya di San Siro.

Penyerang Perancis itu terlepas empat perlawanan sejak itu, yang mana Atletico hanya menang sekali, tetapi sudah kembali berlatih dan media Sepanyol menyatakan dia dijangka diturunkan pada aksi kedua.

Atletico berdepan cabaran getir menentang pendahulu Serie A itu selepas Marko Arnautovic menyumbat gol tunggal kemenangan bila mana Simeone kembali ke Itali untuk berdepan satu daripada bekas pasukannya ketika beraksi sebagai pemain.

Rojiblancos turut menerima kunjungan juara Sepanyol, Barcelona Ahad ini dalam La Liga, yang mana Athletic Bilbao berusaha untuk merampas kedudukan mereka di tangga keempat.

Atletico disingkirkan daripada Copa del Rey oleh Athletic dan di sebalik bermula garang musim ini, mereka ketinggalan 14 mata di belakang musuh tradisi dan pendahulu liga semasa Real Madrid.

Mungkin disebabkan tumpuan terhadap Liga Juara-Juara, Atletico kecundang memalukan 2-0 di tangan kelab bawahan Cadiz Sabtu lalu.

Ia kemenangan pertama kelab Andalucia itu dalam 17 perlawanan dan yang pertama dalam La Liga sejak September lalu.

Di sebalik persembahan buruk itu, Simeone tetap menyokong pemainnya menjelang pertemuan dengan Inter.

"Saya berasakan pasukan sudah memberikan segala-galanya dan saya sebenarnya yang tidak menemui cara terbaik menangani lawan," kata jurulatih itu.

"Saya akan bermati-matian bersama pemain kerana saya tahu apa yang mereka boleh sumbangkan, saya tahu mereka boleh melakukan perkara besar dan saya akan terus bekerja dengan mereka."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2024 @ 1:31 PM