Kuala Lumpur: Pemegang saham terbesar CIMB Group Holdings Bhd, Khazanah Nasional Bhd, tidak bimbang dengan pembatalan cadangan penggabungan tiga entiti iaitu CIMB Group Holding Bhd (CIMB), RHB Capital Bhd (RHBCAP) dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dan percaya dengan tadbir urus korporat bank berkenaan.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, akan terdapat peluang lain yang baik untuk CIMB bergabung pada masa depan.

“CIMB telah membukti kemampuannya bukan saja untuk mengambil alih, tetapi juga untuk mengintegrasi,” katanya selepas mengumumkan Kajian Tahunan Ke-11 Khazanah, kelmarin.

Azman berkata, pasaran juga telah menerima keputusan itu secara positif apabila harga saham bank itu meningkat antara 13 dan 14 peratus sejak laporan gabungan itu berpotensi dibatalkan tersebar.

CIMB, RHBCap dan MBSB kelmarin mengumumkan telah menghentikan perbincangan mengenai cadangan gabungan dan pewujudan bank Islam mega disebabkan keadaan ekonomi semasa.

CIMB dan RHBCap telah menarik balik permohonan mereka kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan perjanjian eksklusiviti yang dimeterai oleh pihak terbabit telah dibatalkan dengan penghentian perbincangan berkenaan.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd menaikkan penarafan RHBCap kepada ‘prestasi tinggi’, menurunkan harga sasaran MBSB, namun tidak membuat sebarang perubahan ke atas CIMB susulan penamatan rundingan cadangan penggabungan.

Kenanga Investment Bank dalam nota kajiannya berkata, pihaknya berpendapat tiada sebarang usaha penggabungan lain di peringkat domestik akan berlaku dalam tempoh terdekat. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:11 AM