MOHD Redza Shah (kiri) bersama Mustafar (kanan) menunjukkan Ikrar Integriti Korporat sambil disaksikan Mohd Munir.
MOHD Redza Shah (kiri) bersama Mustafar (kanan) menunjukkan Ikrar Integriti Korporat sambil disaksikan Mohd Munir.
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) tidak menolak kemungkinan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia selepas kegagalan aktiviti penggabungan bersama CIMB dan MBSB bagi mewujudkan bank mega.

Namun, ia bergantung kepada pemegang saham utamanya, DRB-Hicom Bhd yang memiliki 70 peratus milikan ke atas Bank Mualamat ketika ini.

Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Dr Mohd Munir Majid berkata, dari segi aset dan prestasi kewangan bank berkenaan sememangnya bersedia untuk melaksanakan langkah berkenaan, tetapi ia mesti mendapat persetujuan daripada pemegang saham.

Beliau berkata, tidak ada jangka masa atau sasaran untuk Bank Muamalat disenaraikan di pasaran awam ketika ini dan bank berkenaan lebih fokus kepada mengukuhkan prestasi perniagaan.

“Buat masa ini yang menjadi keutamaan adalah situasi semasa Bank Muamalat yang berdepan dengan cabaran ekonomi, kesan ke atas kecairan aset dan jumlah deposit yang dimiliki bank.

“Selain itu, isu operasi perniagaan juga menjadi keutamaan kami memandangkan bukan mudah untuk berdepan dengan situasi ketika ini walaupun prestasi perniagaan dalam keadaan baik,” katanya selepas majlis menandatangi ikrar korporat integriti antirasuah di sini, semalam.

Pada majlis itu, Bank Mualmalat yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Redza Shah Abdul Wahid menandatangani perjanjian ikrar berkenaan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diwakili Timbalan Ketua Persuruhjayanya, Datuk Seri Mustafar Ali serta disaksikan Mohd Munir.

Pada tahun lalu, Bank Muamalat mencatatkan pertumbuhan perniagaan pembiayaan sekitar 10 peratus dan dijangka menyederhana antara enam hingga lapan peratus tahun ini berikutan cabaran ekonomi semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2016 @ 7:04 AM