TREN enam gerabak yang baru diterima Prasarana.
TREN enam gerabak yang baru diterima Prasarana.

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sudah menerima tren enam gerabak tempahan pertama Kenderaan Rel Ringan (LRV) dan sedia untuk diuji dalam tempoh seminggu.

Pengarah Kumpulan Prasarana untuk Pembangunan Projek, Datuk Ir Zohari Sulaiman berkata, selepas lebih tiga minggu pihaknya kini menerima gerabak berkenaan.

“Ia dihasilkan pengeluar kereta api terkemuka iaitu CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co (CSR) dan dilengkapi 50 tempat duduk. Ia juga dijangka akan menggantikan tren dengan lima gerabak yang digunakan untuk laluan Ampang sejak 1996,” katanya.

Melalui perjanjian dengan CSR, 35 tren pertama yang diterima akan dihantar secara CBU dari China dan baki 15 tren akan dipasang di kilang CSR di Batu Gajah.

Menurutnya, penghantaran berkenaan sangat signifikan kepada Prasarana kerana pihaknya kini boleh memulakan ujian dan kerja pemasangan yang akan dijalankan secara berperingkat selama dua tahun.

“Sebagai tren yang pertama diterima, kami akan mengendalikan ujian integrasi selain ujian rutin untuk semua tren yang baru diterima. data yang diperoleh sangat penting untuk pengeluar dan akan menjadi penanda aras kepada ujian yang dilakukan,” katanya.

Zohari berkata, sejurus selepas menerima tren berkenaan, pasukannya akan memulakan kerja pemasangan semula set gerabak berkenaan dan menjalankan pemeriksaan terbuka sebelum memulakan ujian.

“Kami menjangkakan untuk memulakan pelbagai ujian berkaitan dalam tempoh seminggu dan turut menanti kedatangan set terbaru yang akan tiba pertengahan bulan depan,” katanya.

Pelaburan sebanyak RM1 bilion dibuat untuk pembelian 50 set tren baru bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam di Lembah Klang.

Kira-kira 30 set akan menggantikan tren sedia ada untuk laluan Ampang manakala, 20 set lagi digunakan untuk projek sambungan LRT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 5:27 AM