ENAM gerabak kereta api baru yang ditarik ke dalam kapal di Pelabuhan Shanghai pada 5 Disember lalu dijangka sampai ke Pelabuhan Klang, Sabtu ini.
ENAM gerabak kereta api baru yang ditarik ke dalam kapal di Pelabuhan Shanghai pada 5 Disember lalu dijangka sampai ke Pelabuhan Klang, Sabtu ini.

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dijangka menerima enam gerabak baru pertama Kenderaan Rel Ringan (LRV) di Pelabuhan Klang pada Sabtu ini yang mana ia mula dibawa dari Shanghai pada 5 Disember lalu.

Kereta api baru itu adalah sebahagian daripada 50 set pertama yang diperoleh daripada CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co (CSR Zhuzhou) termasuk 20 di bawah Projek Lanjutan LRT Line (LEP).

Pengarah Kumpulan Bahagian Pembangunan Projeknya, Datuk Ir Zohari Sulaiman berkata proses membawa kereta api itu ke Depot Laluan Ampang agak rumit kerana ia perlu mengambil tempoh beberapa hari bagi pelepasan kastam sebelum ia menjalani pemeriksaan dalaman, prosedur ujian dan pentauliahan.

“Proses ini nampak mudah namun rumit dan ia memberi cabaran besar kepada kami untuk menyelesaikan semua perkara berkaitan berdasarkan saiz tren enam gerabak terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Prasarana kini sedang dalam proses menggantikan tren semasa Rapid KL LRT bagi laluan Ampang yang kini digunakan kira-kira 200,000 penumpang sehari.

Beliau berkata, proses ujian dan pentauliahan bagi LRV pertama akan mengambil masa antara empat hingga lima bulan sebelum ia boleh dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan bagi setiap kenderaan terbabit.

Menurutnya, set tren baru itu memenuhi piawaian keselamatan antarabangsa terkini dan dilengkapi ciri akses universal termasuk enam petak untuk kerusi roda dan turut membolehkan penumpang berjalan daripada satu gerabak ke gerabak lain.

“Sebanyak 35 kereta api pertama akan dihantar sebagai unit lengkap dibina (CBU) daripada China di bawah perjanjian bersama pengilang manakala 15 kereta api terakhir lagi akan dipasang di dalam negara melalui kilang CSR Zhuzou di Batu Gajah, Perak bagi memenuhi keperluan tempatan,” katanya.

Melalui LEP, laluan sedia ada LRT Ampang dan Kelana Jaya diperluaskan ke stesen bersepadu Putra Height apabila Laluan Ampang membabitkan penambahan sebanyak 18.1 kilometer dengan 11 stesen baru dengan fasa pertama empat stesen iaitu Awan Besar, Muhibbah, Alam Sutera and Kinrara BK5 akan dibuka menjelang penghujung Oktober tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:09 AM