Atas dasar tanggung­jawab mahu meringankan bebanan mangsa banjir di pantai timur, ­Kolej ­Komuniti Kuala Langat (KKKL), Selangor berganding bahu membuat ­pelbagai roti untuk disumbangkan kepada golongan terbabit, baru-baru ini.

Sebanyak 1,000 buku roti dihasilkan menerusi kerjasama pensyarah, pelajar dan masyarakat setempat.

Pengarah KKKL, Zainah Rujihan berkata, menerusi aktiviti itu, kolej berkenaan turut mewujudkan semangat saling membantu, sekali gus memberi perangsang kepada generasi muda menghulurkan bantuan.

"Walaupun program ini dilakukan dengan pel­bagai latar belakang, ia diharap mampu memberi pendidikan kepada generasi muda agar prihatin dengan kesukaran orang lain.

"Ia juga sebagai tanda keprihatinan kami terhadap mangsa banjir di pantai timur dan berharap sumbangan ini mampu menggembirakan mereka," katanya.

Jumlah roti dihasilkan itu mengambil masa lebih lapan jam untuk disiapkan dengan pemantauan daripada chef pastri.

Program Kami Prihatin Kolej Komuniti Wilayah Selangor ini mendapat kerjasama daripada Kolej Komuniti Selangor, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan syarikat penerbangan FireFly.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 5:00 AM