ZAINAH bergambar bersama pelajar dan sebahagian wakil Masjid Sultan Abdul Samad.
ZAINAH bergambar bersama pelajar dan sebahagian wakil Masjid Sultan Abdul Samad.
PELAJAR membuat pendawaian semula sambil dipantau pensyarah KKKL.
PELAJAR membuat pendawaian semula sambil dipantau pensyarah KKKL.
SALAH seorang pensyarah menyemak hasil kerja pelajar.
SALAH seorang pensyarah menyemak hasil kerja pelajar.
ZAINAH turut sama turun pandang memantau latihan amali pelajar.
ZAINAH turut sama turun pandang memantau latihan amali pelajar.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Pelajar Sijil Pemasangan Elektrik Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL), baru-baru ini diberi pendedahan melakukan amali luar kelas daripada kebiasaan.

Kali ini pelajar didedahkan membuat amali membabitkan kerja pendawaian yang dipelajari dalam bengkel di KKKL di samping turut melakukan aktiviti gotong-royong di Masjid Sultan Abdul Samad, Kampung Sri Jugra dan di Musollah Tok Aki, Kampung Tampoi, Banting.

Program Rakan Komuniti Masjid ini dijalankan selama dua hari membabitkan 40 pelajar Sijil Pemasangan Elektrik, pensyarah serta komuniti setempat.

Menurut Pengarah KKKL, Lt Kol Bersekutu Zainah Rujihan, program itu memberi pendedahan dan kemahiran melalui kerja lapangan, realiti sebenar bidang pendawaian elektrik serta nilai tambah kepada pelajar Sijil Pemasangan Elektrik kolej itu.

“Objektif program ini bagi membolehkan pelajar Sijil Pemasangan Elektrik dari KKKL membuat amali dengan memanfaatkan segala ilmu yang mereka pelajari dengan melakukan aktiviti pendawaian elektrik di tempat yang terpilih.

“Selain itu, program ini sekali gus dapat menyemai tanggungjawab sosial melalui aktiviti yang dijalankan serta memberi kesedaran kepada pelajar KKKL untuk sentiasa bersedia meminjamkan tangan dalam aktiviti sukarelawan,” katanya.

Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang Program Rakan Komuniti Masjid termasuk membaik pulih pendawaian elektrik yang usang dan membahayakan, aktiviti pendawaian penambahan untuk pemasangan lampu, soket dan kipas.

Selain itu, pelajar turut membuat aktiviti penukaran aksesori pendawaian elektrik yang sudah rosak manakala semua aktiviti terbabit dipantau pensyarah daripada Program Pemasangan Elektrik dari KKKL.

Pada masa sama, aktiviti pembersihan kawasan dalaman dan luaran masjid dan surau meliputi kerja mengemas, menyapu sampah, membersihkan longkang serta kerja pembersihan kawasan tandas turut diadakan pada program itu.

Aktiviti keceriaan surau seperti menyusun atur kitab atau buku bacaan dan ruangan dewan solat selain perkhidmatan cuci dan penyelenggaraan asas penghawa dingin dan kipas serta mengecat surau juga dilakukan bersama peserta.

Zainah berkata, program Rakan Komuniti Masjid ialah kolaborasi bersama Program Karnival Masjid anjuran Masjid Sultan Abdul Samad, Kampung Sri Jugra, Banting.

Sehubungan itu katanya, aktiviti berkenaan diadakan bagi mengindah serta memeriahkan lagi suasana masjid dan surau pada hari Karnival Masjid itu akan diadakan di samping menggalakkan siswa mendekati komuniti dan menjalankan kerja amal.

“Program ini memberi impak yang positif dalam kalangan pelajar apabila mereka lebih prihatin dan bertanggungjawab dalam program ini. Bakal pelapis komuniti ini mendapat pengalaman yang berbeza berbanding pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas yang hanya memfokuskan bidang pembelajaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2016 @ 11:37 AM