40 pelajar bergotong-royong dalam program Rakan Komuniti Masjid.
40 pelajar bergotong-royong dalam program Rakan Komuniti Masjid.
Hajahfarhana Tarmudi


Seramai 40 pelajar Sijil Pemasangan Elektrik Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL), pensyarah dan komuniti setempat melakukan aktiviti gotong-royong di Masjid Sultan Abdul Samad, Kampung Sri Jugra serta di Musollah Tok Aki, Kampung Tampoi, Banting, baru-baru ini.

Program Rakan Komuniti Masjid ini dijalankan selama dua hari. Pada masa sama, pelajar turut diberi pendedahan melakukan latihan amali di luar kebiasaan mereka.

Kali ini setiap pelajar didedahkan latihan amali yang membabitkan kerja pendawaian seperti yang dipelajari di dalam kelas.

Pengarah KKKL Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Zainah Rujihan berkata, program berkenaan memberi pengetahuan dan kemahiran melalui kerja lapangan, realiti sebenar bidang pendawaian elektrik serta nilai tambah kepada pelajar.

“Objektif program ini untuk membolehkan pelajar membuat amali dan mengaplikasi ilmu yang dipelajari dengan melakukan aktiviti pendawaian elektrik di tempat terpilih.

“Program ini juga dapat menyemai tanggungjawab sosial di samping memberi kesedaran kepada pelajar KKKL untuk sentiasa bersedia turun padang dalam memberi bantuan.

“Harapan saya aktiviti seperti ini sentiasa dilakukan bagi memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran yang dipelajari dengan betul,” katanya.

Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang program berkenaan adalah membaikpulih pendawaian elektrik yang usang dan membahayakan, pendawaian penambahan pemasangan lampu, soket dan kipas.

Selain itu, aktiviti penukaran aksesori pendawaian elektrik yang rosak juga dilakukan di bawah pemantauan pensyarah.

Pada masa sama, aktiviti pembersihan kawasan dalaman dan luaran masjid serta surau termasuk kerja mengemas, menyapu sampah, membersihkan longkang serta tandas turut dijalankan.

Turut dimuatkan adalah aktiviti keceriaan surau seperti menyusun atur kitab, buku bacaan dan ruangan dewan solat, perkhidmatan cuci serta penyelenggaraan asas pendingin hawa dan kipas selain mengecat surau.

Program Rakan Komuniti Masjid itu adalah kolaborasi bersama Program Karnival Masjid anjuran Masjid Sultan Abdul Samad, Kampung Sri Jugra, Banting.

Program ini memberi impak yang positif dalam kalangan pelajar untuk lebih prihatin dan bertanggungjawab kepada komuniti.

Bakal pelapis komuniti ini mendapat pengalaman yang berbeza berbanding pengajaran dan pembelajaran yang tertumpu di dalam kelas dan memfokuskan bidang pembelajaran saja.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 4:53 AM