Melaka: Mangsa ketiga kemalangan yang mengorbankan tiga pelajar kolej di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Taman Cheng Bestari hari ini, dikenal pasti Mohamad Shawal Abdul Razak, 19.

Sebelum ini, dua mangsa dikenal pasti iaitu Mohd Aiman Hakim Badrul Hisham, 19, dan Nik Muhammad Sajirin Nik Hazairi, 19.

Semua mereka maut di tempat kejadian selepas kereta Perodua Viva mereka naiki terbabas, merempuh kereta Proton Gen 2 di laluan bertentangan berhadapan Stesen Minyak Petron, Jalan Malim, Taman Cheng Bistari di sini, ketika hujan lebat.

Pemandu Proton Gen 2 mengalami kecederaan dalam kejadian kira-kira 11.25 pagi itu.

Ketua polis daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, kereta dipandu mangsa dari arah Bandar Raya Melaka menghala Alor Gajah, hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dalam hujan lebat.

"Kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, sepasukan lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu segera ke tempat kejadian setelah menerima panggilan kecemasan dari orang awam pada pukul 11.30 pagi.

"Apabila tiba di tempat kejadian anggota bertugas mendapati dua orang mangsa tersepit di dalam kereta Perodua Viva berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 5:59 PM