Kereta yang terbabit kemalangan di Teluk Sengat, Felda Ayer Tawar 5, Kota Tinggi. FOTO Ihsan Bomba
Kereta yang terbabit kemalangan di Teluk Sengat, Felda Ayer Tawar 5, Kota Tinggi. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Amanina Suhaini


WANITA cedera selepas kereta dipandunya bertembung dengan kenderaan lain dalam kejadian di Teluk Sengat, Felda Ayer Tawar 5, Kota Tinggi semalam.

Wanita berusia 20 tahun itu yang memandu Perodua Viva dari arah Kota Tinggi menghala ke Penawar bertembung Proton Iswara dan Honda City dari arah bertentangan.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Azlan Mohd Sobri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.31 petang berhubung kejadian itu.

Katanya, sejurus menerima panggilan, pihaknya menggerakkan enam anggota bersama sebuah jentera ke lokasi.

“Kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Viva, Proton Iswara dan Honda City.

“Perodua Viva itu didakwa memasuki laluan bertentangan menyebabkan pemandu Proton Iswara mengelak dan terbabas ke longkang berhampiran.

“Bagaimanapun, kejadian itu menyebabkan pemandu Honda City yang ketika itu membawa empat penumpang termasuk seorang kanak-kanak lelaki bertembung dengan Perodua Viva itu,” katanya.

Azlan berkata, apabila bomba tiba, mangsa Proton Iswara sudah dibawa orang awam ke klinik berhampiran.

“Mangsa dua lagi kenderaan masih di dalam kenderaan dan bomba mengambil masa 15 minit mengeluarkan mangsa kedua-dua kenderaan itu.

“Kita memberi rawatan awal dengan memasang alat bantuan stabiliti pada leher kedua-dua mangsa yang juga pemandu dua kereta berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, operasi tamat 4.20 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 11:10 AM