Hakim Ziyech (tengah) dicabar pemain PAOK FC dalam aksi kelayakan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi ini. FOTO Agensi
Hakim Ziyech (tengah) dicabar pemain PAOK FC dalam aksi kelayakan Liga Juara-Juara Eropah awal pagi ini. FOTO Agensi
AFP

PASUKAN separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, Ajax berjaya mencatat keputusan seri 2-2 pada perlawanan pertama, pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Eropah ketika berkunjung ke PAOK Thessaloniki, di Belgrade, awal pagi ini.

Juara Belanda, Ajax hampir menjadi pasukan layak ke final musim lalu namun kini terpaksa melepasi peringkat kelayakan di sebalik kejayaan meraih kejuaraan kebangsaan buat kali-34 pada Mei lalu.

Hakim Ziyech meletakkan Ajax di depan 10 minit permainan di Greece menerusi sepakan percuma terkena kepala benteng pertahanan lawan sehingga mengelirukan jangkaan penjaga gawang PAOK, Alexandros Paschalakis.

Bekas pemain remaja Arsenal, Chuba Akpom menyamakan jaringan buat PAOK, yang tidak tewas musim lalu ketika memenangi kejuaraan liga Greece buat pertama kali dalam lebih tiga dekad.

Pemain pertahanan, Leo Matos menanduk masuk gol buat tuan rumah mendahului sebelum waktu rehat berdepan pasukan yang dalam proses pembentukan selepas kehilangan Matthijs de Ligt kepada Juventus dan Frenkie de Jong ke Barcelona musim panas ini.

Penyerang veteran, Klaas Jan Huntelaar menyamakan kedudukan pada minit ke-57 apabila cubaan mengeluarkan bola berjaya disambar pemain itu yang pantas meledak jaringan gol.

Kedua-dua pasukan akan bertemu di Amsterdam pada perlawanan timbal balik minggu depan, dengan pemenang akan berdepan wakil Azerbaijan, Qarabag atau APOEL dari Cyprus dalam play-off peringkat kumpulan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Ogos 2019 @ 10:31 AM