Laporan portal berita Harian Metro hari ini
Laporan portal berita Harian Metro hari ini
Rizanizam Abdul Hamid


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Datuk Hasan Abd Rahman yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bakal berdepan 34 pertuduhan di mahkamah bernilai lebih RM300,000.

Menurut sumber, turut berdepan jumlah pertuduhan sama adalah kerani wanita berusia 34 tahun.

“Masing-masing bakal berdepan 34 pertuduhan bernilai lebih RM300,000 di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Media hari ini melaporkan SPRM Melaka menahan dua individu termasuk Hasan dan kerani Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana NBOS, tiga tahun lalu.

Mereka ditahan selepas dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM di Alai 11 pagi tadi.

Ketua Pengarah SPRM, Latheefa Koya, dipetik berkata, kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan SPRM dan dikehendaki hadir di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh untuk pertuduhan esok.

Pengarah SPRM Melaka, Awg Kok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua individu berkenaan.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 iaitu mengemukakan tuntutan palsu.

Berita berkaitan

ADUN Sungai Rambai, kerani ditahan SPRM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Julai 2019 @ 8:14 PM