AMRAN (dua kiri) melihat barang kemas yang dirampas dari suspek. FOTO Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
AMRAN (dua kiri) melihat barang kemas yang dirampas dari suspek. FOTO Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


Kuantan: Suami isteri ditahan bersama 173 gram (g) syabu dan 600 pil kuda bernilai RM65,000 di dua lokasi di bandar ini pada Selasa lalu.

Dalam kejadian 1.40 petang itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang menahan lelaki berusia 26 tahun ketika menunggang motosikal di tepi Jalan Kemunting, di sini.

Ketua JSJN Pahang, Superintendan Amran Ramli berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek menemui 600 pil kuda dan 52.75g syabu yang disimpan di dalam beg silang diletakkan dalam bakul motosikal.

"Susulan penahanan itu polis kemudiannya menyerbu rumah suspek di Kampung Pandan Jaya dan menahan isteri suspek berusia 29 tahun sebelum merampas 121g syabu.

"Pemeriksaan lanjut di rumah itu turut menemui wang tunai berjumlah RM1,000, barang kemas, empat kereta dan tiga motosikal yang keseluruhan bernilai RM314,176," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Katanya, suspek kini direman selama seminggu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2015 @ 4:14 PM