Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

Kuala Lumpur: Kementerian Antarabangsa dan Industri (MITI) menyifatkan 2015 adalah tahun yang mencabar bagi sektor perdagangan terutama dengan kesan kejatuhan ringgit, penurunan harga minyak dunia dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun nilai perdagangan mencatatkan prestasi yang baik sepanjang tahun lalu, namun keadaan mungkin sedikit berbeza pada tahun ini.

“Jumlah perdagangan yang dicatatkan pada November lalu menunjukkan pertumbuhan positif dengan sektor pembuatan serta elektrik dan elektronik merekodkan permintaan tinggi masing-masing sekitar 50 peratus dan 33 peratus.

“Namun, untuk tahun ini keadaan mungkin sedikit mencabar berikutan beberapa isu yang berlaku,” katanya selepas pelancaran Persatuan Usahawan Muda ASEAN Malaysia (MAAYE) di sini, semalam.

Menurutnya, buat masa ini pihaknya masih dalam proses untuk menentukan prestasi perdagangan sehingga penghujung 2014 dan enggan membuat sebarang jangkaan awal.

Sementara itu, MAAYE yang baru ditubuhkan dijangka memainkan peranan khususnya dalam membantu usahawan muda di Malaysia dalam menembusi pasaran ASEAN.

Wakil Malaysia bagi MAAYE, Rajasekaran Teagarajan berkata, persatuan berkenaan bertanggungjawab untuk membantu usahawan muda menjalin kerjasama dengan usahawan dari negara ASEAN.

“Kami akan memastikan usahawan muda dari Malaysia dapat meningkatkan hubungan perniagaan antara Malaysia dan negara ASEAN khususnya melalui pelbagai saluran, perkhidmatan dan bantuan daripada agensi sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, usahawan muda khususnya dari sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka mendapat manfaat hasil gabungan usahawan dalam persatuan berkenaan.

“Dengan jumlah populasi ASEAN mencecah 626 juta yang meliputi kira-kira 60 peratus golongan muda berusia kurang 40 tahun, ia akan memberi manfaat jangka panjang kepada usahawan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 5:48 AM