AFP

Berlin: Thomas Mueller mengakui biarpun menjulang gelaran liga Jerman untuk musim keempat berturut-turut kelmarin, ia belum mampu memadamkan kekecewaan Bayern Munich yang tersingkir buat kali ketiga berturut-turut pada separuh akhir Liga Juara-Juara minggu lalu.

Robert Lewandowski menjaringkan dua gol bagi membolehkan Bayern mengesahkan status mereka sebagai kelab pertama menjulang empat gelaran liga Jerman berturut-turut selepas menang 2-1 di Ingolstadt.

Kekalahan pasukan di tangga kedua Borussia Dortmund 0-1 di tangan Eintracht Frankfurt membolehkan Bayern terus mendahului dengan lapan mata berbaki satu perlawanan.

Keputusan di Ingolstadt bermakna Bayern menjuarai Bundesliga setiap tahun dalam tempoh tiga tahun Pep Guardiola mengendalikan kelab di Munich sebelum meninggalkan kelab itu untuk menyertai Manchester City musim depan.

Namun kejayaan Bayern menjulang gelaran itu hadir empat hari selepas kecewa tersingkir daripada saingan Eropah di tangan Atletico yang mara ke final menerusi gol di tempat lawan selepas menang 1-0 di Madrid dan tewas 1-2 kepada kelab Bavaria di Munich.

“Ini bukan saguhati kerana tersingkir daripada Liga Juara-Juara,” kata Mueller.

“Kami mungkin sedih tapi ini bukan masa sesuai bercakap mengenai separuh akhir Liga Juara-Juara.”

Namun Mueller mengakui akhirnya lega selepas sah meraih gelaran liga keempat berturut-turut.

“Memenangi gelaran ini satu pencapaian luar biasa, terutamanya apabila Dortmund muncul naib juara terbaik dalam sejarah Bundesliga.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 7:37 AM