PEMAIN Wolfsburg rai kejayaan julang trofi pertama musim ini.
PEMAIN Wolfsburg rai kejayaan julang trofi pertama musim ini.
AFP

Wolfsburg, Jerman: Pemenang Piala Jerman, VfL Wolfsburg mengejutkan juara Bundesliga, Bayern Munich menerusi penentuan penalti untuk menjuarai Piala Super domestik buat kali pertama di Arena Volkswagen selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1, awal pagi semalam.

Jaringan Arjen Robben pada babak kedua dari jarak dekat dilihat mampu membantu kejayaan Bayern yang memburu kejuaraan Piala Super pertama sejak 2012 selepas kalah berturut-turut di tangan Borussia Dortmund.

Namun pemain gantian Nicklas Bendtner yang hanya menyumbat satu gol dalam 18 penampilan liga buat Wolves musim lalu, menyamakan kedudukan pada minit ke-89 selepas menyambut hantaran silang menakjubkan daripada pemain kebangsaan Belgium, Kevin De Bruyne.

Dengan tiada masa tambahan, perlawanan itu terus ditentukan menerusi sepakan penalti dan Xabi Alonso menjadi dalang kekalahan Bayern kendalian Pep Guardiola yang tewas 4-5.

Alonso pengambil sepakan penalti kedua Bayern, dikecewakan penjaga gol Wolfsburg dari Belgium, Koen Casteels yang menghalang tendangannya dengan kaki ketika Wolfsburg kendalian Dieter Hecking menyumbat semua lima sepakan penalti mereka.

Bekas penyerang Arsenal, Bendtner turut menyempurnakan sepakan penalti kemenangan bagi memberikan Wolfsburg trofi pertama musim ini.

Bayern tampil pada perlawanan itu sebagai pasukan pilihan di laman naib juara Bundesliga musim lalu, Wolfsburg, yang membenam kelab Bavaria itu 4-1 pada pertemuan terakhir di gelanggang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 10:40 AM