NORMASHAYU
NORMASHAYU
Amirul Haswendy Ashari


Projek terbarunya, Festival Moh Kite! yang berlangsung di Taman Tasik Taiping, Perak selama empat hari sejak Jumaat lalu, benar-benar menguji kesabaran produser Pencil Pictures & Records, Datuk Normashayu Puteh.

Bermula dengan barisan artis yang akan memeriahkan majlis itu hinggalah urusan pemasangan khemah.

Produser filem Bopeng dan Gamatisme itu akui kecewa dengan sikap ‘lepas tangan’ pihak yang berjanji akan menyediakan artis untuk acara anjurannya.

Katanya, ada pihak menghubunginya menawarkan artis di bawah pengurusan mereka untuk menyertai acara itu beberapa minggu lalu.

“Pihak terbabit mahu menaja artis di bawah pengurusan mereka. Syarikat itu juga mendakwa mendapat tajaan daripada syarikat pengeluar minuman untuk terbabit sama membawa artis mereka ke sana.

“Malangnya sehari sebelum acara, syarikat itu enggan memberi kerjasama dipercayai kerana gagal mendapatkan tajaan untuk membawa artis mereka ke sana,” katanya.

Apa yang membuatkan Normashayu sangat kecewa kerana tidak diberitahu mengenai masalah syarikat itu dengan pihak penaja yang dipercayai menarik diri pada awal minggu lalu.

“Hal penarikan tajaan itu saya ketahui selepas menghubungi penaja untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Saya dimaklumkan penaja menawarkan bayaran token kepada artis mereka tetapi tawaran itu ditolak kerana dipercayai tidak mendatangkan keuntungan kepada mereka.

“Mungkin disebabkan itu, mereka membatalkan penyertaan artis mereka. Masalahnya saya sudah melabur ribuan ringgit untuk mencetak poster dan kain rentang yang tertera wajah artis yang bakal dibawa.

“Antara artis yang dijanjikan ialah penyanyi kanak-kanak popular dari Indonesia, Tegar dan Amy Farrah. Artis tempatan pula terdiri daripada Bagio, Ibnor Reza, Zack Kool dan kumpulan Jimbara,” katanya.

Normashayu mendakwa pihaknya juga memenuhi tuntutan lisan yang dibuat syarikat itu untuk turut meletak logo penaja di poster dan kain rentang acara.

“Akibat pembatalan penajaan itu, wakil mereka memberi pelbagai alasan. Apa yang berlaku antara penaja dengan mereka bukan masalah kami.

“Tapi kini menjadi masalah kami apabila ada yang menganggap kami berbohong dengan peminat untuk membawa artis yang dipromosikan sebelum ini.

“Artis lain yang kami undang tiada masalah memberi komitmen penuh. Antaranya komposer lagu etnik kreatif Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah), Elda Susanti, Yabang Khalifah dan artis 3 Juara,” katanya.

Normashayu mendakwa sekiranya pihak mereka mempunyai rasa tanggungjawab atau mahu menjaga nama baik, pastinya artis yang dipromosi itu akan datang juga.

Katanya, sebagai pengurus artis mereka sepatutnya menjaga nama baik artis yang dijaga. Tambah pula wajah dan nama setiap artis terbabit sudah terpampang di poster dan kain rentang. Disebabkan itu, mereka tidak seharusnya ‘lepas tangan’.

“Ia bukan saja menganiayai artis itu sendiri malah syarikat saya yang bertindak sebagai penganjur acara yang berlangsung selama empat hari,” katanya.

Selain isu itu, beliau juga berdepan masalah dengan penyedia perkhidmatan khemah yang tidak muncul sehari sebelum acara. Disebabkan itu, pihaknya terpaksa mendapatkan perkhidmatan syarikat lain untuk menyediakan khemah.

Melalui laman sosial Facebooknya Jumaat lalu, Normashayu meminta pihak terbabit tampil untuk memberi keterangan kepada polis sekali gus membersihkan namanya dan syarikatnya yang mereka dakwa ada masalah.

Katanya, mereka menyebar fitnah mengatakan pihaknya menimbulkan masalah dan tidak mampu membayar mereka.

“Hakikatnya, deposit sudah dibayar tetapi saat akhir mereka batalkan hingga saya perlu bayar penuh secara tunai dengan orang baru,” katanya.

Walaupun berdepan pelbagai isu dari awal, Normashayu tetap optimis untuk meneruskan acara itu pada masa depan.

Baginya, demi menjaga kebaikan dan kredibiliti syarikat, dia akan lebih berhati-hati berurusan dengan syarikat pengurusan artis dan penyedia perkhidmatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 5:37 AM