MOHD Saiful bersama pasangannya, Nur Faizah meniti di atas kayu selepas rumah mereka dilanda banjir kilat.
MOHD Saiful bersama pasangannya, Nur Faizah meniti di atas kayu selepas rumah mereka dilanda banjir kilat.
Oleh Zuliaty Zulkiffli

Changlun : “Saya panik dan rasa tidak sedap hati apabila melihat keadaan sawah padi di belakang rumah ditenggelami air. Dalam tempoh kurang dua jam, air melimpah ke pekarangan rumah hingga menyebabkan saya bimbang majlis perkahwinan bersama isteri (semalam) terganggu.”

Begitu kata pengantin lelaki, Mohd Saiful Amri Darus, 25, apabila pekarangan rumahnya di Kampung Bukit, di sini, digenangi air setinggi 0.5 meter sehingga menyebabkan penduduk kampung memindahkan beberapa khemah di tepi jalan, selain mengangkat peralatan memasak dan perabot ke tempat tinggi.

Mohd Saiful Amri yang juga juruteknik berkata, dia bersyukur majlis perkahwinan bersama pasangan, Nur Faizah Abdul Razak, 25, berlangsung dengan lancar dan dihadiri hampir 1,000 tetamu walaupun mereka menumpang halaman rumah jiran mendirikan khemah.

Menurutnya, pada mulanya mereka mahu mengadakan majlis perkahwinan itu Jun depan, tetapi dipercepatkan disebabkan ibunya, Maznah Baharom, 55, mengalami masalah kesihatan.

“Tak sangka pula ia meninggalkan pengalaman akan dikenang sehingga anak cucu disebabkan mengadakan majlis kenduri dalam banjir dan tidak selesa, tetapi syukur semuanya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

S

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:12 AM