Amirul Haswendy Ashari


PRODUSER filem, Datuk Normashayu Puteh menamatkan zaman janda dengan penyanyi, Muhd Aiman Ismail, hari ini.

Majlis secara sederhana itu diadakan di Masjid Al Mukarramah, Bandar Sri Damansara, pada 10.50 pagi.

Pasangan itu dinikahkan Imam Md Adib Mahyus Asmungi dengan disaksikan keluarga dan rakan terdekat.

Normashayu atau Ayu, 40, aktif menerbitkan filem seperti Bopeng, Tokan, Gamatisme dan mempunyai syarikat rakaman yang turut dinaungi Aiman, menerima mas kahwin RM300 dan hantaran RM10,000.

Ayu menyerahkan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan dari pihak lelaki seperti minyak wangi, persalinan pakaian dan senaskah al-Quran.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 9 Julai, tahun lalu.

“Saya menerima Ayu sebagai isteri bukan kerana statusnya tapi melihat pada perlunya lelaki bergelar suami untuk bersama-sama mengharungi susah senang bersama,” kata Aiman.

Ayu mempunyai empat anak daripada perkahwinan terdahulu iaitu Mohd Sufian Mohd Ali, 21, Nor Syazwana, 20, Nor Syazwani, 13 dan Mohd Aliff Safuan, 12.

Majlis bersanding sebelah perempuan akan berlangsung di Jelai, Negeri Sembilan, 14 Januari depan.

Majlis sambut menantu pula di kediaman Aiman di Ampang, 21 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 11:58 AM