NABIL
NABIL
Najiy Jefri


Melihat kejayaan pelawak antarabangsa Harith Iskander berjaya dalam acara Funniest Person In The World 2016 di Finland Disember lalu, ia memberi semangat kepada Nabil Ahmad untuk mengasah bakat berlawak dalam bahasa Inggeris.

Nabil berkata, dia berharap impian besarnya itu dapat direalisasikan dalam tempoh lima tahun lagi apabila benar-benar bersedia.

“Harith antara idola dan pembakar semangat saya untuk belajar bahasa Inggeris. Namun bukan senang untuk membuat jenaka kalau kita belum benar-benar menguasai bahasa itu dengan sepenuhnya,” kata Nabil.

Siapa sangka, jika selama ini penguasaan bahasa Inggerisnya terbatas, Nabil akui dalam kehidupan seharian dia semakin yakin menggunakan bahasa Inggeris malah menjadikan anak sulungnya, Naira Mikayla atau Mika, 5, sebagai rakan berbual.

Meskipun pernah menyertai kelas bahasa Inggeris, Nabil sedar pendekatan lisan lebih efektif membuatkan dia semakin berani mendalami bahasa Inggeris.

Nabil berkata, banyak perubahan yang dilaluinya sejak diberi peluang mengendalikan program dwibahasa, HBO Sentral dua tahun, sekali gus membantunya meningkatkan penguasaan bahasa utama dunia itu.

“Saya tidak lagi takut-takut atau malu bertutur dalam bahasa Inggeris ketika di khalayak ramai. Keberanian itu bermula dari rumah, terutama sejak anak sulung saya bersekolah “ katanya.

Menerajui HBO Sentral sejak musim kedua, program 12 episod yang kini memasuki musim keempat akan menemui penonton di saluran HBO 411 dan 432 serta Cinemax (412) bermula 30 April ini, jam 3.45 petang.

Nabil berkata, musim terbaharu yang disiarkan selama setengah jam itu akan membawanya lebih kepada penonton dengan tambahan sorotan mingguan antara lima hingga tujuh minit.

Enggan mendabik dada, Nabil bersyukur melihat banyak perubahan dilalui sekali gus memberi anjakan baru terhadap kerjaya seninya.

“Saya akan terus belajar. Siapa sangka, asalnya hanya budak despatch dari Mambau, Negeri Sembilan tetapi akhirnya mampu merasai suasana di permaidani merah Oscar.

“Pengalaman itu tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Diamanahkan menemu bual selebriti Hollywood pada acara itu membuatkan saya berdebar tapi bersyukur dapat melaksanakan­nya,” ujar Nabil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 4:56 AM