FATTAH bersama Eizlan dalam satu adegan.
FATTAH bersama Eizlan dalam satu adegan.
FATHIA dalam satu adegan Bencinta.
FATHIA dalam satu adegan Bencinta.
Oleh Nor Akmar Samudin

Suhaimi Lua Abdullah kembali dengan sentuhan hebatnya menerusi drama terbaru arahannya berjudul Bencinta yang mengisi slot Samarinda TV3 yang sedang bersiaran dari Selasa hingga Khamis, jam 10 malam.

Drama 15 episod itu menampilkan gandingan mantap Fattah Amin dan Fathia Latiff yang dibantu lakonan cemerlang Erwin Dawson, Bella Dally, Nazeera Sardi, Datuk Eizlan Yusof, Amy Mastura, Sabrina Ali, dan Abdul Rahman Suud.

Skrip tulisan Mufid Shuhaimi itu mengisahkan Nabil yang menyimpan perasaan dendam terhadap Datuk Majid kerana usahawan itu melanggar ibunya suatu ketika dulu.

Nabil yang ketika itu berusia 10 tahun dihantar ibu saudaranya ke rumah anak yatim kerana menganggapnya pembawa malang. Di sana Nabil berkawan baik dengan Aishah dan Ikmal, namun setahun selepas itu Nabil dijadikan anak angkat oleh Majid dan isterinya, Datin Maria yang ketika itu tidak mempunyai anak sendiri. Mereka berdua menyayangi Nabil dengan sepenuh hati dan merancang untuk menyerahkan syarikat milik Majid kepada Nabil apabila dia besar nanti.

Tidak lama selepas Nabil dijadikan anak angkat, Maria meninggal dunia selepas melahirkan bayi perempuan yang dinamakan Nabila. Amanat terakhir Maria sebelum menghembuskan nafas terakhir supaya Nabil menjaga dan mengahwini Nabila apabila mereka besar nanti.

Nabil menjaga Nabila dengan penuh kasih sayang, namun sikapnya yang terlalu mengongkong membuatkan Nabila membencinya dan kerana inginkan kebebasan, Nabila membuat keputusan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Nabila juga nekad mengambil jurusan perniagaan kerana tidak mahu syarikat ayahnya jatuh ke tangan Nabil.

Ketika berada di luar negara Nabila bercinta dengan Adam, namun atas kemahuan bapaya, Nabila terpaksa berkahwin dengan Nabil. Bagaimanapun, perkahwinan mereka tidak bahagia dan kerap bertengkar dan pada masa sama Nabila masih mencintai Adam yang sebenarnya sudah berkahwin dan ada dua anak.

Suatu hari, akibat tidak dapat mengawal kemarahannya lagi, Nabila menyuarakan dia boleh menguruskan sendiri syarikat bapanya dan tidak memerlukan Nabil. Tercabar dengan tindakan Nabila, Nabil meletakkan jawatan dan menghilangkan diri.

Untuk mengetahui apakan Nabila menemui jalan bahagia, jangan lupa saksikan drama bersiri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 12:18 PM