HAZWAN (kanan) sedia diturunkan menentang Pahang selepas bebas kecederaan.
HAZWAN (kanan) sedia diturunkan menentang Pahang selepas bebas kecederaan.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Percaturan taktikal ampuh menjadi taruhan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) ketika memburu kemenangan apabila melayani kunjungan Pahang pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Larkin, malam ini.

Pengendali Harimau Selatan Benjamin Mora sedar tugas getir menanti pemainnya yang perlu menggandakan usaha jika mahu menidakkan defisit dua gol selepas tewas 1-3 kepada anak didik Dollah Salleh pada aksi pertama.

Apapun, Mora tidak mahu pemainnya beraksi dalam tekanan menentang skuad Tok Gajah, sebaliknya menggesa mereka menggunakan sepenuhnya 90 minit perlawanan untuk memburu kemenangan.

“Persiapan kami kali ini dirangka dengan cukup teliti bagi berdepan Pahang.

“Pemain saya bebas daripada kecederaan dan penggantungan bagi membolehkan barisan mantap dibentuk. Beberapa pemain seperti Marcos Antonio dan Safiq Rahim yang tidak beraksi pada saingan Piala AFC, baru-baru ini serta Ahmad Hazwan Bakri yang pulih daripada kecederaan akan menguatkan kesebelasan utama.

“Rekod pertembungan kami seimbang dalam dua pertemuan setakat ini,” katanya merujuk kepada tiga mata diperoleh Johor DT apabila menang 3-2 di Larkin pada saingan Liga Super sebelum Pahang menang 3-1 pada aksi Piala FA.

“Jadi, saya jangkakan perlawanan ketiga malam esok pasti menarik,” katanya.

Mengulas mengenai corak permainan Tok Gajah, Mora mengakui sudah mengetahui corak pasukan itu yang kerap mengamalkan hantaran jauh kepada Matheus Alves untuk mengawal bola dan menggempur benteng sambil Mohamadou Sumareh dan Wan Zaharulnizam Zakaria akan bergerak di posisi sayap kanan.

Malah, beliau tidak menafikan, pasukan pelawat dibarisi pemain terbaik yang beraksi dengan corak permainan pantas dengan anak buahnya perlu berwaspada dengan membiarkan lawan menguasai bahagian tengah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 4:14 AM