Penyerang Sri Pahang FC, Kenny Athiu merembat bola sambil dihalang pemain JDT,  Mauricio Santos pada aksi Liga Super. FOTO Ihsan Sri Pahang FC.
Penyerang Sri Pahang FC, Kenny Athiu merembat bola sambil dihalang pemain JDT, Mauricio Santos pada aksi Liga Super. FOTO Ihsan Sri Pahang FC.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh tetap berpuas hati dengan persembahan pemainnya walaupun tumpas 0-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Beliau mengakui agak kecewa dengan keputusan selepas tewas kepada JDT tapi bangga dengan barisan pemain yang diturunkan apabila menunjukkan semangat juang tinggi tatkala menyenaraikan pemain simpanan dan pemain Piala Presiden untuk berdepan skuad kendalian Benjamin Mora.

"Aksi pada babak pertama, mungkin dari aspek pengalaman pemain saya kerap buat kesilapan yang tidak sepatut dilakukan tapi pada babak kedua kita cuba bangkit malah mencipta beberapa peluang yang hampir mencemaskan benteng JDT.

"Apa yang dipamerkan barisan saya pada aksi itu cukup memuaskan hati dan mereka begitu bersemangat untuk beraksi sepanjang 90 minit perlawanan yang rata-ratanya pemain simpanan malah mereka tidak kekok untuk berdepan pemain JDT yang begitu berpengalaman.

"Kelibat Yakubu yang ditugaskan beraksi di posisi tengah turut memainkan peranan bagi membimbing beberapa pemain muda yang beraksi dalam perlawanan itu malah Syaahir (Saiful) yang berusia 18 tahun tidak kekok beraksi dalam kesebelasan utama," katanya.

Ditanya jika enam tonggak utama dapat diturunkan pada perlawanan itu, Dollah menegaskan dalam permainan bola sepak apa jua bolah berlaku dan tidak boleh menjangka sama ada keputusan yang lebih positif mampu diraih skuad Tok Gajah.

Beliau tampak risau tatkala skuad Tok Gajah berada di zon bahaya selepas berada di tangga ke-10 liga namun optimis pasukan itu mampu bangkit untuk kekal di saingan liga pada musim depan dan menyasarkan kemenangan dalam baki tiga perlawanan lagi.

Malah beliau berharap beberapa tonggak utama iaitu Muslim Ahmad, Nor Azam Azih, Aung Kaung Mann dan penjaga gol, Helmi Eliza Elias akan kembali memperkuatkan pasukan bagi mengharungi baki tiga perlawanan yang dianggap misi penting buat skuad Tok Gajah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Ogos 2021 @ 11:24 AM