NOH Omar (tengah) melancarkan SPRN. Turut bersama, Halimah, Halimi, Abdul Rahim (kiri) dan Wan Mohd Nor (kanan). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
NOH Omar (tengah) melancarkan SPRN. Turut bersama, Halimah, Halimi, Abdul Rahim (kiri) dan Wan Mohd Nor (kanan). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membina 4,800 unit Rumah Transit Belia di Mukim Batu, Kuala Lumpur, Julai ini.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, projek pembinaan fasa pertama itu berkonsepkan studio apartmen yang mempunyai satu dan dua bilik dengan saiz antara 41.80 meter persegi hingga 60.38 meter persegi.

"Kabinet sudah meluluskan secara dasarnya untuk melaksanakan program ini dan kita akan membina rumah yang berkualiti tinggi setanding kondominium dengan berbagai kemudahan termasuk kolam renang.

"Selain itu, kerajaan juga mensasarkan 10,000 unit rumah transit akan siap dibina dalam tempoh tiga tahun akan datang," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Timbalan Ketua Setiausaha (Kesejahteraan Bandar), Datuk Halimi Abd Manaf; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara (JPN), Datuk Abdul Rahim Ishak.

Noh berkata, rumah transit yang disediakan kepada golongan belia itu akan dikenakan bayaran sewa yang jauh lebih berpatutan daripada kadar sewa semasa.

"Bagaimanapun, penyewa rumah transit belia hanya dibenarkan menyewa dalam tempoh lima tahun dan selepas itu mereka perlu mendapatkan rumah sendiri," katanya.

Terdahulu, beliau turut melancarkan Sistem Pengurusan Perumahan Negara (SPRN) bagi memberi kemudahan kepada rakyat membuat permohonan perumahan secara dalam talian.

Menurutnya,sistem itu adalah platform permohonan dan pemantauan produk perumahan yang ditawarkan KPKT termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR); Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome); Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit); Skim Pinjaman Perumahan (SPP) dan Rumah Transit 1 Malaysia (RT1M).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 4:22 PM