ORANG ramai melawat kios pada pelancaran Pameran Hartanah MyRumah siri keempat, semalam.
ORANG ramai melawat kios pada pelancaran Pameran Hartanah MyRumah siri keempat, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


Petaling Jaya: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengedarkan surat pekeliling kepada syarikat media tempatan, minggu depan berhubung kelulusan menyiarkan iklan projek perumahan di platform media masing-masing.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pekeliling itu mewajibkan pemaju hartanah mendapatkan Lesen Permit Pengiklanan Pembangunan (APDL) terlebih dahulu daripada KPKT sebelum dibenarkan menyiarkan iklan di semua saluran media di negara ini.

Menurutnya, langkah itu usaha untuk membendung penipuan penjualan hartanah yang tidak mengikut undang-undang negara oleh pihak tidak bertanggungjawab yang dilihat menyalahgunakan saluran media untuk kepentingan peribadi.

“Langkah ini dilaksanakan mengikut Peraturan 5, Akta 118 dengan APDL akan diwajibkan kepada pemaju hartanah yang membina lebih empat unit rumah sebelum mereka dibenarkan membuat sebarang iklan dalam mana-mana saluran media,” katanya selepas pelancaran Pameran Hartanah MyRumah siri keempat, di sini, semalam.

Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) menyatakan syarikat perumahan tidak boleh mengiklankan penjualan projek tanpa mendapat lesen daripada KPKT.

Beliau berkata, KPKT sedia membantu orang ramai yang menjadi mangsa kes penipuan penjualan rumah yang berlaku, baru-baru ini melalui bantuan pinjaman dikenali Skim Pinjaman Perumahan (SPP) bernilai hingga RM60,000.

“Kami mengalu-alukan mereka untuk memohon bantuan ini di mana mereka perlu memiliki tanah sendiri dan pendapatan isi rumah di bawah RM30,000. Bantuan ini perlu dibayar secara ansuran bulanan dengan caj perkhidmatan rendah iaitu dua peratus saja. Jika mereka membayar dengan baik maka caj dua peratus ini akan dikecualikan.

“Untuk mereka yang tidak memiliki tanah dan tinggal di bandar pula, kami akan memberi peluang kepada mereka untuk memohon rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 5:23 AM