Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil langkah mengeluarkan lesen pinjaman wang kepada pemaju perumahan yang layak bertujuan membantu pembeli rumah mendapatkan pembiayaan.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata, lesen itu dilaksanakan di bawah kementeriannya menerusi Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Pindaan 2011) yang mana ia tidak termaktub di bawah kelolaan Bank Negara Malaysia (BNM).

Jumlah pembiayaan yang boleh diluluskan pemaju hartanah kepada pembeli juga tidak ditetapkan kerajaan dan boleh mencapai sehingga 100 peratus sekiranya pemaju mempunyai aliran tunai yang mencukupi.

“Kadar faedah yang ditawarkan adalah maksimum 18 peratus tanpa cagaran dan minimum 12 peratus dengan cagaran yang mana pemaju perumahan berkelayakan dari segi modal dengan projek perumahan pula dalam proses pembinaan boleh memohon mendapatkan lesen berkenaan daripada KPKT bermula hari ini (semalam).

“Pengenalan langkah ini membantu orang ramai untuk mendapatkan jumlah pembiayaan yang mencukupi dan ia juga membantu mengembangkan perniagaan pemaju perumahan yang dahulunya hanya menjual rumah dan kini boleh menawarkan pembiayaan dalam segmen hartanah,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Hartanah dan Perumahan Nasional ke-19 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar.

Persidangan berkenaan yang dianjurkan Institut Kepimpinan dan Strategik Asia (ASLI) bagi membincangkan isu utama dalam industri perumahan dan hartanah tempatan terutama membabitkan unjuran masa depan.

Sementara itu, Noh Omar berkata, kerajaan juga dalam proses membangunkan projek rumah transit kedua yang dikhaskan kepada golongan muda, rumah transit belia yang dijangka dilaksanakan selepas pembentangan Belanjawan 2017, bulan depan.

Beliau berkata, rumah transit belia itu disasarkan kepada individu bujang dan pasangan yang baru berkahwin untuk tinggal di kediaman berkenaan dalam tempoh antara tiga hingga empat tahun saja dengan harga sewaan yang berpatutan sebelum mereka membeli rumah sendiri.

“Kita akan membangunkan kediaman jenis studio dengan keluasan 400 kaki persegi dan ia sesuai untuk pasangan baru berkahwin atau individu bujang yang tidak memerlukan rumah luas untuk dihuni.

“Langkah melaksanakan rumah transit belia ini rentetan daripada pelaksanaan pembinaan rumah transit pertama di Bukit Jalil yang berjumlah 300 unit pada tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 7:02 AM