Azizulhasni Awang bersaing pada temasya Sukan Olimpik 2020. FOTO AFP
Azizulhasni Awang bersaing pada temasya Sukan Olimpik 2020. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kami tak mampu. Itu penjelasan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) terhadap persoalan membabitkan pemberian insentif atau 'durian runtuh' kepada pelumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang memenangi perak pada temasya Olimpik Tokyo.

Presidennya Datuk Abu Samah Wahab berkata, PKBM boleh dikatakan berada dalam situasi tenat dengan kantung kewangan semakin menipis disebabkan lebih setahun tiada sebarang penganjuran kejohanan akibat pandemik Covid-19.

Datuk Abu Samah Wahab
Datuk Abu Samah Wahab

Beliau berkata, PKBM cukup berbangga dan menghargai keringat serta kejayaan yang dikecapi Azizul mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Namun, katanya pemberian imbuhan atau insentif hanya boleh direalisasikan apabila keadaan PKBM kembali pulih dan mempunyai sumber kewangan kukuh.

"Jika melihat kepada situasi sekarang, PKBM melalui keadaan sukar sehingga terpaksa membuang beberapa pekerja kerana tidak mampu untuk membayar gaji mereka.

"PKBM sememangnya bercadang mahu memberikan imbuhan kepada Azizul namun bukanlah sekarang. Mungkin apabila kejohanan berbasikal boleh diadakan dan sudah tentu PKBM boleh jana pendapatan kembali.

"Saya faham mungkin ada pihak mempersoalkan perkara itu (pemberian insentif) namun lebih baik saya berterus terang dengan situasi PKBM ketika ini," katanya, ketika dihubungi.

Terdahulu, jika dihitung ketika ini pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio dalam acara keirin itu sudah menerima hadiah hampir RM1 juta dari pelbagai pihak.

Azizul bakal menerima Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) RM300,000 dengan kerajaan Terengganu turut meraikannya dengan memberikan insentif bernilai RM350,000 merangkumi sebuah kediaman bernilai RM300,000 di Dungun dan wang tunai RM50,000.

Azizul turut ditawarkan Anugerah Biasiswa Tuanku Canselor UMT bernilai RM72,000 untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Selain itu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga menawarkan biasiswa Bitara Pasca Siswazah peringkat sarjana selama dua tahun bernilai RM42,225 atau PhD selama tiga tahun bernilai RM103,700.

Penjelajah Grand Slam, Datuk Muhammad Muqarabbin Mokhtarudin atau lebih dikenali Qobin juga menghadiahkan RM15,000 kepada Azizul.

Namun, Azizul atau dikenali sebagai Jijoe setakat ini masih belum menerima sebarang insentif atau durian runtuh daripada PKBM sekali gus menimbulkan tanda tanya daripada pelbagai pihak.

Mengikut rekod, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini mengumumkan pemberian durian runtuh berjumlah RM180,000 kepada pasangan beregu badminton negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik atas kemenangan pingat gangsa mereka di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 9:21 PM