ANIES adalah pengasas Anies Bake House.
ANIES adalah pengasas Anies Bake House.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Dari dunia korporat kepada bidang bakeri. Siapa sangka, wanita kecil molek ini yang dulunya memegang selesa di sektor korporat kini mencipta nama antara pembuat kek terkenal di Malaysia.

Nama pengasas Anies Bake House, Noranis Ayu Nordin, 48, atau lebih mesra dengan panggilan Anies sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dan kreativiti anak jati Segamat, Johor itu dalam menghasilkan pelbagai jenis rekaan kek turut menarik perhatian golongan kerabat diraja.

Lebih menarik, Anies turut dipilih untuk menghasilkan kek tempahan khas sempena ulang tahun Keputeraaan sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tahun 2019 lalu.

Anies berkata, dia sebelum itu turut membuat kek sempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada tahun 2017.

Namun, kek istimewa yang dihasilkan sempena Hari Ibu untuk Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada tahun 2019 membuka rezeki yang tidak terduga kepada Anies.

"Memang diakui, selepas kek berkenaan mendapat pujian Raja Permaisuri Agong, rezeki mencurah-curah dan kemuncaknya, saya turut mendapat tempahan untuk menghasilkan kek sempena Hari Pertabalan Agong.

"Meskipun rekaan kek berbentuk Balairong Seri Istana Negara itu agak rumit dan memerlukan ketelitian tetapi Alhamdulillah, ia dapat disiapkan dalam masa empat hari dengan bantuan lima kakitangan lain.

"Hilang semua penat dan kegusaran apabila Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong tersenyum gembira melihat kek yang kami hasilkan," katanya ketika ditemui di Cyberjaya, baru-baru ini.

Ibu kepada empat anak cahaya itu bercerita, dia juga pernah menghasilkan kek berbentuk mesin jahit dan pengadun edisi khas untuk Tunku Azizah.

KEK khas berbentuk Balairong Seri sempena Ulang Tahun Keputeraan bersempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tahun 2019 lalu.
KEK khas berbentuk Balairong Seri sempena Ulang Tahun Keputeraan bersempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada tahun 2019 lalu.

Anies juga menghasilkan kek berbentuk piano yang ditempah Istana Negara sempena hari kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menempah kek khas berbentuk cokmar sempena Ulang Tahun Keputeraan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Selain itu, kek yang dihasilkan Anies turut menyerikan lagi majlis perkahwinan beberapa artis terkenal tanah air seperti Fasha Sandha dan Ain Edruce.

Kreativiti Anies juga menjadi pilihan selebriti popular antaranya Alif Satar, Fizo Omar dan ramai lagi.

Anies berkata, meskipun menerima banyak tempahan dalam kalangan kerabat diraja, VVIP dan pihak korporat namun dia tidak pernah sesekali meninggikan diri.

BERSAMA sebahagian daripada kakitangan Anies.
BERSAMA sebahagian daripada kakitangan Anies.

Kata Anies, harga kek yang dihasilkan bermula daripada RM90 hingga puluhan ribu ringgit, bergantung kepada saiz, rekaan dan kerumitan untuk membuatnya.

Baginya, harga bukanlah keutamaan kerana yang penting adalah kepuasan pelanggan. Dia bersyukur apabila pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja kerana merekalah (pelanggan) yang banyak membantu menaikkan lagi nama perniagaannya.

"Semuanya dari mulut ke mulut, saya percaya jika hasil kerja kita memuaskan, pasti ramai yang akan menghargai.

"Apapun, saya bersyukur dengan rezeki Allah SWT kerana dengan sokongan semua, Anies Bake House kini memiliki 12 kakitangan dengan dapur utama terletak di Cyberjaya," katanya.

Dalam pada itu, pengalaman dan kemahiran yang dimiliki Anies turut membolehkan dia melatih usahawan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk Kursus Pengurusan Bakeri (seni reka kek fondant) secara dalam talian dan bengkel pastri sejuk beku.

KEK berbentuk piano yang ditempah Istana Negara sempena hari kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
KEK berbentuk piano yang ditempah Istana Negara sempena hari kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dia juga pernah dijemput untuk mengajar dalam pembuatan biskut oleh pelbagai pihak swasta mahupun agensi kerajaan.

Sementara itu, Anies gembira kerana anak keduanya, Nor Muhammad Firdzuan Mokhtar, 25, adalah bekas pelajar Food Institute of Malaysia (FIM) dan Giat Mara itu juga menunjukkan minat untuk menceburi kerjaya sebagai pembuat kek.

Katanya, anak yang dipanggil Angah itu mempunyai kreativiti tersendiri yang boleh diketengahkan untuk membantu memajukan lagi perniagaan bakerinya.

"Saya gembira ada penyambung legasi kerana jika ada rezeki, mahu mengembangkan lagi perniagaan ke bidang kafe pastri pula.

"Semua itu adalah minat dan saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan ia dapat direalisasikan, " katanya yang turut mengeluarkan pelbagai produk kek dan biskut segera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:00 AM