ANIS Najihah menunjukkan keputusan 9A+ SPM.
ANIS Najihah menunjukkan keputusan 9A+ SPM.

Johor Bahru: “Saya bukan anak orang senang dan kejayaan ini amat bermakna untuk ibu bapa yang banyak berkorban tenaga dan wang,” kata pelajar aliran Sains Tulen Sekolah Tun Fatimah (STF), di sini, Anis Najihah Hilmi, 18, yang memperoleh 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Anis Najihah yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan mendapat A+ dalam semua subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris , Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi.

Berkongsi perasaannya selepas memperoleh keputusan peperiksaan itu, anak ketiga daripada empat beradik yang juga pelajar Projek Khas (keluarga berpendapatan rendah) STF itu berkata, dia bersyukur kerana usaha kerasnya selama ini membuahkan hasil.

“Saya mengulang kaji pelajaran pada saat akhir, namun sentiasa bersedia sebelum masuk kelas. Saya suka bertanya jika tidak faham sesuatu perkara serta mengamalkan pembelajaran secara berkumpulan.

“Amalan itu membantu saya memperoleh keputusan cemerlang selain keinginan diri yang kuat untuk mengubah nasib keluarga,” katanya yang ditemui selepas majlis Pengumuman Keputusan SPM di Dewan STF, di sini, oleh Pengetua sekolah itu, Kamisah Aziz, semalam.

Menceritakan cabaran sepanjang belajar di STF, Anis Najihah berkata, sejak kecil dia diasuh berdikari dan tidak mempunyai masalah tinggal di sekolah berasrama penuh.

“Rasa rindu terhadap keluarga ada, namun saya ketepikan demi kebaikan diri dan keluarga. Malah, apa jua masalah, saya memandangnya dari sudut positif,” katanya.

Menurut Anis, dia bercadang menyambung pengajian di United Kingdom (UK) bagi merealisasikan cita-citanya menjadi pakar ekonomi.

Anis Najihah antara 151 calon yang menduduki SPM di STF dan seorang daripada lapan pelajar mendapat 9A+ dalam SPM 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mac 2015 @ 9:58 AM