HASAN menunjukkan buah timun betik.
HASAN menunjukkan buah timun betik.
HASAN turut menanam betik.
HASAN turut menanam betik.
Syed Ismail Syed Abu Bakar

Bekas kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Balik Pulau, Pulau Pinang tidak menyangka ladang timun betik diusahakannya kini mampu menjana pendapatan lumayan.

Hasan Lebar, 68, terbabit dalam bidang pertanian selepas mengusahakan pelbagai tanaman seperti timun betik, mempelam, betik, keladi dan bendi sejak 2004.

Namun sejak bersara, Hasan meneruskan minatnya dengan mengusahakan tanaman di kawasan pertanian di Kampung Perlis, Balik Pulau, seluas 1.5 hektar.

Bermodalkan RM3,000, Hasan menyewa tanah daripada seorang pemilik dengan mengusahakan tanaman pisang, mempelam dan keladi, namun usahanya itu sering menemui kegagalan kerana tanamannya tidak menjadi.

Namun kini, beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Hasan bangkit semula dengan mengusahakan tanaman timun betik yang mampu menjana pendapatan tambahan antara RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

“Saya tidak mahu menyerah kalah, sebaliknya terus menguatkan semangat kerana yakin ia kunci kejayaan dan kini jelas terbukti berbudi kepada tanah akhirnya mampu memperoleh pendapatan lumayan.

“Saya kini menumpukan tanaman timun betik di atas tanah sebagai punca rezeki kerana ia mendapat permintaan tinggi di pasaran dan harga jualannya di ladang iaitu RM3 sekilogram (kg),” katanya.

Pak Hasan berkata, penjagaan tanaman itu juga tidak terlalu rumit kerana apa yang penting ialah benih baik, dibaja seminggu sekali, disiram dua kali sehari dan dikawal daripada serangga perosak.

Beliau berkata, selepas 65 hari, timun betik sudah boleh dituai secara berperingkat-peringkat setiap hari untuk dipasarkan dan timun betik seelok-eloknya dituai pada sebelah pagi bagi menjamin kesegarannya.

“Saya kini sudah mempunyai pelanggan tetap termasuk pengusaha kedai makan yang datang semata-mata untuk mendapatkan buah timun betik sesuai dibuat minuman dan rasanya diakui enak.

“Saya mampu memperoleh sehingga 500kg sebulan dan mampu memberi pulangan sehingga RM1,500 hasil jualan timun betik secara terus kepada pelanggan.

“Saya turut mengusahakan tanaman sampingan termasuk 3,000 pokok keladi yang dijual RM10 sekilogram, sekali gus turut memberi pulangan bagi menambahkan pendapatan keluarga,” katanya.

Menurutnya, dia turut mengusahakan tanaman jambu batu yang dijual dengan harga RM3 sekilogram dan mendapat sambutan menggalakkan daripada peniaga rojak buah.

Buah timun betik atau nama saintifiknya cucumis sativus adalah sejenis tumbuhan daripada famili cucurbitae sama dengan timun biasa, malah timun betik adalah sejenis buah-buahan yang mempunyai isi berair dan rasanya manis.

Ia adalah sejenis tumbuhan menjalar semusim yang membiak melalui biji benih dan turut dikenali dengan nama lain iaitu timun suri atau apple cucumber selain mengandungi kandungan serat tinggi serta kaya dengan provitamin A.

Timun betik boleh ditanam di kawasan memerlukan air mencukupi dan tidak boleh dibiarkan kering selain buahnya berwarna kuning, berbentuk lonjong dengan panjangnya sekitar 20 sentimeter dan diameternya sekitar 10 sentimeter.

Dari segi kesihatan, timun betik mampu membekalkan tubuh badan dengan vitamin yang dapat membantu mempertingkatkan ketahanan badan melawan penyakit.

Ia dapat menyihatkan ginjal dan limpa serta menurunkan tekanan darah tinggi manakala buahnya boleh dimakan begitu saja dengan rasanya yang manis dan berair apabila masak.

Buah timun betik masak ranum boleh dikenal pasti melalui kulit luarannya yang merekah dan boleh dimakan bersama santan dengan ditabur sedikit gula pasir atau gula melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 12:24 PM