AB Halim dan Sudayang memasukkan timun Baby di dalam plastik sebelum diborong. FOTO Syaherah Mustafa
AB Halim dan Sudayang memasukkan timun Baby di dalam plastik sebelum diborong. FOTO Syaherah Mustafa
Syaherah Mustafa


PENGALAMAN bekerja dalam sektor pertanian di Korea memberi idea kepada suami isteri untuk mengusahakan timun Baby yang kini memberi pendapatan belasan ribu ringgit sebulan.

Ab Halim Abd Rani, 21, dan isterinya, Sudayang Amalisa Che Man, 21, mengusahakan tanaman terbabit yang turut dikenali sebagai timun tikus sejak setahun lalu, di tanah seluas lebih 0.2 hektar di Kampung Banggol Kekabu, Lubok Stol, Rantau Panjang.

Ab Halim berkata, dia dan isteri sebelum ini menimba pengalaman di Korea dengan berkerja sebagai petani serta memetik buah selama enam bulan sebelum kembali ke kampung dan mengambil keputusan untuk berbudi kepada tanah.

"Bak kata pepatah, hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri. Kami lebih selesa bekerja di kampung namun cara kerja, kerajinan serta ketelitian orang di sana kami jadikan sebagai contoh agar bidang yang kami ceburi ini membuahkan hasil.

"Bermodalkan RM10,000 hasil pinjaman daripada adik beradik, kami mulakan pertanian dengan mengusahakan tanaman cili dan terung sebelum diteruskan lagi dengan menghasilkan timun Baby memandangkan ia memberi pendapatan lumayan.

"Hanya kami berdua yang mengusahakan kebun ini bermula daripada menyemai anak benih sehinggalah proses mengutip sebelum ia dibungkus dan dihantar ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, Kota Bharu, untuk dijual secara borong," katanya ketika ditemui di kebun miliknya di Kampung Kekabu, hari ini.

Timun Baby adalah sejenis tanaman seperti timun batang tetapi dengan saiz lebih kecil dan rangup, sesuai dibuat ulam-ulaman dan acar.

Ab Halim berkata, timun Baby dijual pada harga RM5 sekilogram namun harganya lebih murah jika dijual borong, bergantung kepada pasaran semasa.

Dia yang juga bapa kepada seorang cahaya mata berusia setahun berkata, setiap hari mereka mengutip pada sebelah pagi dan petang dengan hasil sehingga 200 kg timun Baby sehari sebelum dijual kepada pemborong tiga kali seminggu.

"Setiap kali mahu menghantar hasil tanaman kepada pemborong di RTC, saya dan isteri mula bergerak dari rumah seawal jam 3 pagi. Memang agak penat untuk bekerja seperti ini, namun kami faham wang tidak datang bergolek melainkan dengan berusaha dan kerja kuat.

"Selain itu, kami juga perlu memastikan tanaman timun Baby ini sentiasa mendapat air mencukupi termasuk semburan baja tiga kali sehari selain memerlukan penerimaan cahaya matahari secukupnya agar dapat menghasilkan timun yang berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 1:07 PM