Rebecca tidak tahu apa tujuan individu cuba burukkannya. FOTO RAI
Rebecca tidak tahu apa tujuan individu cuba burukkannya. FOTO RAI
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelakon Datin Rebecca Nur Al Islam, 32, membuat laporan polis dan Suruhanjaya Multimedia Malaysia (SKMM) selepas mendakwa diganggu pengikut misteri yang kerap menggunakan akaun palsu berbeza di laman sosial Instagram, baru-baru ini.

Rebecca yang membuat laporan itu beberapa hari lalu mendakwa individu terbabit memburuk-burukkannya kepada rakan-rakan selain cuba menghuru-harakan rumah tangganya.

"Saya mula menyedari niat buruknya itu apabila beberapa rakan menghubungi saya mengenai perkara yang berunsur fitnah terhadap diri saya.

"Saya dimaklumkan individu terbabit menghantar mesej peribadi menerusi Instagram memburuk-burukkan saya kepada rakan-rakan rapat saya.

"Dia bukan saja memburukkan diri saya, tetapi turut menyentuh mengenai hal rumah tangga dengan niat mahu menghancurkan kebahagiaan saya," katanya.

Rebecca berkata, dia kini bahagia dengan suami, Datuk Noor Azam Sulaiman.

"Saya tidak ganggu hidup orang lain dan saya sangat bahagia sekarang. Saya pun tidak tahu apa tujuan individu itu cuba buruk-burukkan saya.

"Nasib baik rakan-rakan saya tidak terus percaya dan bertanyakan sendiri kesahihan mesej itu kepada saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 6:48 PM