AKSI Sloane ketika membalas hantaran Rebecca di Washington. - FOTO AFP
AKSI Sloane ketika membalas hantaran Rebecca di Washington. - FOTO AFP
Reuters

PILIHAN utama dan bekas juara, Sloane Stephens tewas mengejut 2-6, 5-7 kepada Rebecca Peterson dari Sweden di pusingan pertama Terbuka Citi awal pagi tadi manakala bintang remaja, Cori 'Coco' Gauff turut tersingkir straight set.

Sloane yang pencapaian terbaiknya mara ke separuh akhir Madrid pada Mei lalu mempamerkan aksi hambar apabila kerap membuat kesilapan sejak awal permainan dalam pertemuan pertamanya menentang lawan menduduki ranking ke-70 dunia.

Rebecca pantas mengambil kesempatan dengan mendahului 5-2 dan akhirnya menang set pertama dalam masa 29 minit selepas pukulan kilas Sloane terkena jaring.

Sloane yang menjuarai kejohanan ini pada 2015 cuba bangkit di set kedua apabila mendahului 5-4 tetapi gagal bertahan selepas Rebecca merampas servis seterusnya memenangi perlawanan itu.

REAKSI Cori selepas tewas di tangan Zarina. - AFP
REAKSI Cori selepas tewas di tangan Zarina. - AFP

Rebecca akan menentang pemenang di antara pemain Amerika Syarikat, Sachia Vickery dan pemain Itali, Camila Giorgi.

Cori, bintang remaja berusia 15 tahun yang mencipta sensasi apabila mara ke pusingan keempat Wimbledon gagal menandingi ketangkasan pemain Kazakhstan, Zarina Diyas apabila tewas 4-6, 2-6.

Zarina akan menentang pilihan kelima, Lesia Tsurenko di pusinga kedua. Juara Olimpik Monica Puig turut mara selepas mengatasi cabaran pemain Amerika Syarikat, Allie Kiick 4-6 2-6 dan bakal menentang pemain Rusia, Anna Kalinskaya di pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Julai 2019 @ 10:28 AM