Amrullah Abdul Karim


Kuala Kubu Bharu: Peluncur udara, Mohamad Rosely Azli, 53, yang dilaporkan hilang selepas gagal mendarat ketika meluncur petang semalam, ditemui selamat jam 3.30 petang tadi selepas payung luncurnya tersangkut pada pokok kira-kira tiga kilometer dari Subtek Polis di Taman Millenium, di sini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan cedera di kaki.

"Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) melihat payung luncur digunakan dan mangsa melambai ke arah mereka.

"Selepas itu operasi membawa keluar mangsa dilakukan menggunakan tali dan dia dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk rawatan," katanya.

Beliau berkata, kedudukan mangsa ketika itu di arah utara menghala Bukit Fraser dan berdekatan Kampung Sungai Damar di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 5:44 PM
Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan lanjut. FOTO Amrullah Abdul Karim
Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk rawatan lanjut. FOTO Amrullah Abdul Karim