MANGSA yang maut ditutupi plastik kuning. FOTO ihsan PDRM
MANGSA yang maut ditutupi plastik kuning. FOTO ihsan PDRM
Amrullah Abdul Karim


Kuala Kubu Bharu: Seorang lelaki ditemui mati di tepi landasan kereta api di Kilometer 325.4 dari Ipoh ke Kuala Lumpur berdekatan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di sini dipercayai dilanggar kereta api jam 10.22 pagi tadi.

Lelaki berpakaian baju hitam dan berseluar jeans itu mati dalam keadaan terlentang dengan kesan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, seorang pekerja KTM memaklumkan berlaku kemalangan iaitu kereta api ETS melanggar seseorang.

"Sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian dan menemui mayat mangsa berusia lingkungan 30-an, namun belum diketahui identitinya.

"Mangsa dipercayai tercampak ke tepi landasan berhampiran tiang kira-kira enam meter dan kepala mangsa pecah," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 6:56 PM