MANGSA maut di lokasi kejadian selepas terbabit kemalangan maut di Kilometer 427.8, Lebuhraya Utara-Selatan arah Bukit Tagar, semalam.
MANGSA maut di lokasi kejadian selepas terbabit kemalangan maut di Kilometer 427.8, Lebuhraya Utara-Selatan arah Bukit Tagar, semalam.
Amrullah Abdul Karim

Kuala Kubu Bharu: “Kali terakhir saya menemui arwah adik November tahun lalu. Tidak sangka dia akan ‘pergi’ serentak bersama isterinya,” kata Aminah Bee Sulaiman, 53, kakak mangsa kemalangan maut membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal petang semalam.

Menurut Aminah, adiknya, Shaharudin Sulaiman, 41, yang dipercayai membonceng motosikal Mofaz 350 bersama isteri, Ragilwati Agustina terbabas dan melanggar besi pembahagi lebuh raya di Kilometer 427.8, Lebuhraya Utara-Selatan arah Bukit Tagar, di sini.

Menurutnya, pasangan itu yang bekerja sebagai kontraktor acara dalam perjalanan dari ibu kota ke Langkawi.

“Saya hanya mengetahui kejadian selepas menerima panggilan telefon dari Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) sebelum bergegas ke sini.

“Arwah ada dua anak perempuan berusia 12 dan 15 tahun,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKKB.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bhak Pai berkata, motosikal ditunggang mangsa terbabas lalu melanggar penghadang tengah jalan.

“Penunggang dan pembonceng maut di tempat kejadian akibat tercampak,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 11:47 AM