HELIKOPTER akan digunakan dalam operasi SAR petang ini. FOTO Amrullah Abdul Karim
HELIKOPTER akan digunakan dalam operasi SAR petang ini. FOTO Amrullah Abdul Karim
Amrullah Abdul Karim


Kuala Kubu Bharu: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) peluncur udara yang hilang sejak petang semalam masih belum menemui petunjuk positif.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam berkata, SAR berkenaan membabitkan 50 anggota iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, Angkatan Pertahanan Awam serta Majlis Daerah Hulu Selangor.

Beliau berkata, SAR pagi tadi menggunakan khidmat helikopter PDRM bermula 8 hingga 11 pagi namun gagal menjejaki lokasi mangsa.

"Operasi SAR menggunakan helikopter meliputi 10 kilometer radius dari kawasan Taman Millenium ini namun belum ada petunjuk positif.

"Kita akan mendapatkan bantuan daripada dua lagi helikopter tentera dan bomba yang akan memulakan SAR petang ini," katanya.

Menurutnya, mangsa dikenal pasti sebagai Mohamad Rosely Azli, 53, dan dia meluncur bersama enam peluncur lain, 2 petang semalam namun mangsa didapati tidak mendarat dan gagal dikesan.

Katanya, Presiden Kelab Luncur Udara Kuala Kubu Bharu, Mohd Nazri Sulaiman cuba menghubungi mangsa melalui walkie talkie namun terputus hubungan.

Katanya, mangsa dipercayai berlegar di udara selama 40 minit dan melepasi ketinggian lebih 1,000 meter sebelum hilang dalam kepulan awan.

"Ketika meluncur mangsa memakai baju T putih dan seluar paras lutut warna cerah.

"Mangsa menggunakan payung terjun jenama Sky Altis dengan panjang 11 meter, warna merah, oren dan putih," katanya.

Beliau meminta orang awam yang melihat mangsa menghubungi balai polis berdekatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 3:21 PM