TARIKH mengenai hari bahagia dengan Bella akan diumumkan kemudian.
TARIKH mengenai hari bahagia dengan Bella akan diumumkan kemudian.
Amirul Haswendy Ashari


Mungkin ini Ramadan terakhir pelakon Nazim Othman sebagai lelaki bujang. Ramai tahu pelakon kacak kelahiran Labuan itu bergelar tunangan pelakon jelita, Nabila Dally, awal tahun ini.

Ada mendakwa majlis pernikahan mereka bakal berlangsung pada bulan Syawal ini, tidak kurang membuat spekulasi pada 16 September depan yang jatuh pada cuti hari Malaysia.

Namun teka-teki bilakah pasangan itu akan melangsungkan perkahwinan, nampaknya masih lagi berlegar-legar di dalam industri hiburan tempatan.

Bagaimanapun, dalam pertemuan dengan Nazim atau Nushrul Alif Othman, 32, ketika pertemuan fotografi bersama Selebriti Metro Ahad, minggu lalu, katanya, mungkin ini Ramadan terakhirnya sebagai lelaki bujang.

Apa sekalipun tarikh yang disebut-sebut, Nazim belum mahu terbuka untuk bercerita lanjut mengenai perkahwinan.

“Cukuplah saya katakan tidak menolak kemungkinan untuk melangsungkan hari bahagia dengan Bella (Nabila) dalam tahun ini.

“Segala perincian mengenai tarikh dan persiapan akan saya jelaskan selepas semua proses berkaitan selesai,” katanya.

Bekas pramugara itu lebih selesa untuk bercerita mengenai kerjaya seni yang kini sudah maju setapak lagi sebagai penyanyi.

Sebelum ini minat dalam bidang muzik sudah dibuktikan dengan menghasilkan single Destinasi. Malangnya single itu terkubur begitu sahaja dek genre dan isu peredaran masa.

Selepas penyertaan dalam pertandingan realiti nyanyian Gempak Superstar, Nazim gembira rezeki itu lebih ‘murah’.

Katanya, sudah ada beberapa tawaran daripada pihak berkaitan yang mahukan dia menyanyikan lagu untuk beberapa projek tertentu.

Antara projek yang masih dalam proses perbincangan ialah lagu adaptasi puisi bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Stars Touch Media Sdn Bhd.

Projek itu adalah cetusan idea terakhir komposer terkenal, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan yang kini diteruskan anaknya, Aiman Zamir Adnan.

Projek itu akan menggabungkan beberapa penyanyi tempatan menyanyikan bait-bait puisi yang ditulis oleh penulis puisi tempatan dalam satu album khas.

Selain Nazim, beberapa nama lain seperti Never Pretty Ugly, Azhael, Sherry Ibrahim dan Randy Pangalila turut dipanggil.

Tambah yakin dalam nyanyian

Selepas Aidilfitri ini, Nazim akan melancarkan single Cerita Kita hasil ciptaan komposer terkenal, Omar K. Baginya, minat dalam bidang nyanyian tidak pernah pudar dan akan diteruskan selagi ada peluang serta ruang.

Katanya, dia perlu terus perbaiki diri untuk membuktikan bakat dimiliki. Selepas penyertaan Gempak Superstar, Nazim akui keyakinannya makin bertambah.

Pun begitu, Nazim enggan bercerita lanjut mengenai projek adaptasi puisi kerana masih dalam proses perbincangan.

Pelakon drama Cinta Teruna Kimci dan Ustaz Korea Sebelah Rumah itu turut melihat 2016 sebagai tahun yang cukup bertuah buatnya.

Bak kata orang tua-tua, selalunya selepas bertunang atau berkahwin, rezeki semakin melimpah ruah.

Rentetan kepada bidang nyanyian dan lakonan, Nazim kini sibuk di set penggambaran drama bersiri 100 episod, Lara Aishah berganding bersama Fasha Sandha.

“Saya bekerja seperti biasa untuk Ramadan tahun ini. Syukur sebab diberi tanggung jawab memegang watak utama. Peluang seperti itu tidak wajar dilepaskan.

“Ikutkan, jadual sangat padat terutama ketika penyertaan dalam Gempak Superstar lalu. Tapi mujurlah waktu itu pihak produksi faham dan mengizinkan saya beri tumpuan pada program itu.

“Kini selepas segalanya berakhir, barulah saya boleh beri sepenuh tumpuan kepada drama Lara Aishah pula,” katanya.

Drama bersiri adaptasi telenovela popular Mexico itu membabitkan masa penggambaran selama 10 bulan dan bersiaran di Astro Prima, Ogos depan.

Mengenai bayaran lumayan diterima dek pembabitan dalam drama terbitan Global Station itu, Nazim hanya mampu mengucapkan syukur.

Katanya, ini projek drama paling panjang yang pernah dilakukannya. Malah beberapa tawaran filem dan drama terpaksa ditolak.

“Saya terpaksa tolak kerana mahu fokus pada projek ini. Syukur juga sebab di set penggambaran, hubungan di antara kru produksi dan barisan pelakon ibarat keluarga dan kami cukup selesa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:03 AM