Kuala Lumpur: Pemanah compound negara Fatin Nurfatehah Mat Salleh (gambar) tidak bimbang dengan prestasinya walaupun gagal menyerlah pada saingan Piala Asia, dua minggu lalu.

Tidak seperti kebiasaan, Fatin hanya membawa pulang sebutir perak menerusi acara campuran bersama Mohd Juwaidi Mazuki.

Dia gagal menyinar dalam acara individu dan berpasukan wanita apabila terkandas di suku akhir pada saingan berlangsung di Thailand itu.

“Saya juga kurang pasti punca gagal menyerlah di Bangkok walaupun persiapan dijalankan agak baik. Mungkin itu kejohanan antarabangsa pertama saya selepas hampir setengah tahun berehat.

“Namun tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana tahap keyakinan saya masih tinggi terutama bagi menghadapi Sukan SEA nanti. Malah saya sudah mengubati kekecewaan di Bangkok apabila meraih dua emas di sirkit kebangsaan beberapa hari lalu,” kata pemanah dari Sabah itu.

Bagaimanapun pemenang tiga emas Sukan SEA 2015 itu menegaskan, dia serta rakan sepasukan lain memerlukan pertandingan berterusan sehingga Sukan SEA pada Ogos nanti bagi mencapai rentak terbaik.

“Saya akan menyertai Kejohanan Memanah Universiti Asia disusuli siri Piala Dunia di China. Namun bagi Jun dan Julai, masih belum ada perancangan dimaklumkan.

“Saya berharap kami akan terus diberikan pendedahan pertandingan antarabangsa bagi membolehkan kemuncak prestasi dicapai pada Sukan SEA seperti edisi 2015,” jelasnya.

Barisan pemanah compound antara yang diharapkan menyumbang emas kepada negara dalam memastikan misi kontinjen Malaysia bergelar juara keseluruhan tercapai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 3:23 AM