Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi mengesahkan pihaknya merancang menghantar memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mohd Zahid Hamidi bagi memastikan kemasukan artis dari luar negara, terdiri daripada artis berkualiti dan tertakluk kepada undang-undang Malaysia.

"Seperti yang semua sedia maklum, baru-baru ini, imej negara kita tercalar apabila pengacara dari Singapura, Najip Ali mempersenda Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam satu program bual bicara di negara jiran itu.

"Untuk memastikan mesej ini sampai, saya akan menghantar sendiri memorandum ke tangan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abd Jamil, perkara ini penting untuk dijadikan pengajaran buat artis luar, terutamanya negara jiran yang mencari rezeki di Malaysia.

"Saya selaku Presiden Seniman merasakan bahawa tindakan perlu diambil, bukan sahaja memfokuskan kepada apa yang dilakukan oleh pengacara itu, tetapi juga sebagai pengajaran kepada artis luar lain yang mencari rezeki di negara ini.

"Kalau boleh, kita tapis dan hanya benarkan artis berkualiti sahaja yang dibenarkan masuk untuk bekerja di negara ini. Kalau ada yang menghentam dan memperlekeh negara serta industri seni kita, kita sekat," kata Zed.

Zed berkata, dia melihat apa yang dilakukan kerajaan Indonesia sebagai tindakan terbaik bagi memastikan artis luar tidak merosakkan imej dan reputasi negara itu.

"Saya menyarankan agar diwujudkan peraturan, sekiranya artis luar negara ingin bekerja di sini, mereka perlu mendapatkan surat kebenaran daripada Seniman terlebih dahulu,” katanya.

Zed turut meluahkan rasa terkilan apabila ada artis luar yang tidak menjaga sensitiviti rakyat Malaysia.

"Kalau anda masih ingat pernah satu ketika penyanyi Erykah Badu dihalang membuat persembahan di sini kerana tatu kontroversinya bagi menjaga sensitiviti masyarakat Malaysia. Sama juga isunya dengan apa yang berlaku baru-baru ini.

"Kalau artis dari Amerika Syarikat atau negara yang jauh memperlekeh Malaysia, mungkin kita tidak terlalu peduli. Terkilan rasanya apabila jiran serumpun tergamak memburuk-burukkan pemimpin negara kita,” kata Zed.

Najip Ali sebelum ini muncul dalam program bual bicara OK Choppe yang bersiaran di Mediacorp 5 bersama beberapa tetamu jemputan lain dan dalam satu segmen jenaka, pengacara dan tetamu jemputan mempersenda Perdana Menteri.

Najip sebelum ini menjadi pengkritik tetap program Maharaja Lawak Mega 2017 bersama Datuk Rosyam Nor, Luna Maya dan Neelofa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 8:28 PM