PINTU gerabak kereta api bawah tanah yang rosak akibat letupan. FOTO EPA/megapolisonline.rumegapolisonline.ru HANDOUT
PINTU gerabak kereta api bawah tanah yang rosak akibat letupan. FOTO EPA/megapolisonline.rumegapolisonline.ru HANDOUT
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kedutaan Besar Malaysia di Moscow sedang berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan komuniti Malaysia di St Petersburg bagi memastikan tiada rakyat negara ini terbabit dalam letupan kereta api bawah tanah.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan proses pengecaman ke atas mangsa yang terbabit.

"Rakyat Malaysia di St Petersburg yang terjejas akibat insiden ini dan memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Moscow di Mosfilmovskaya Ulitsa 50," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mereka juga boleh menghubungi talian +7 495 419 9898 / +7 495 419 9899 atau emel [email protected].

Panggilan juga boleh dibuat ke Wisma Putra di talian  03-8887 4570 (selepas waktu bekerja) dan 03-8887 4530.

"Kementerian mengucapkan takziah dan simpati ke atas pihak keluarga dan rakan-rakan mangsa yang terbabit dalam insiden ini," katanya.

Dalam kejadian 2.40 petang semalam, sekurang-kurangnya 11 terbunuh dan 50 lagi cedera, termasuk kanak-kanak, akibat letupan bom paku dalam gerabak kereta api bawah tanah di Stesen Sennaya Ploshchad.

Jawatankuasa Anti-Pengganas Kebangsaan melaporkan satu lagi bahan letupan ditemui di satu lagi stesen tetapi berjaya dimatikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 11:01 AM