Agensi

St Petersburg, Russia: Sekurang-kurangnya 10 terbunuh dan 50 lagi cedera, termasuk kanak-kanak, akibat letupan bom paku dalam gerabak kereta api bawah tanah di sini, hari ini.

Presiden Russia, Vladimir Putin, yang berada di St Petersburg - bandar kelahirannya - untuk bertemu pemimpin Belarus, Alexander Lukashenko, berkata pasukan penyiasat sedang berusaha menentukan sama ada ia serangan pengganas atau sebab lain.

Jawatankuasa Anti-Pengganas Kebangsaan menyatakan ‘beberapa’ orang terbunuh dan cedera akibat letupan dalam kereta api.

Reuters melaporkan, saksi melihat sekurang-kurangnya lapan ambulans di Stesen Sennaya Ploshchad dan portal berita tempatan, Fontanka, melaporkan beberapa stesen ditutup serta-merta.

Pada 2010, 38 terbunuh selepas dua wanita meletupkan diri mereka dalam kereta api bawah tanah yang sesak di Moscow.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 9:16 PM