Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kementerian Luar mengesahkan tiada warganegara Malaysia yang terbabit dalam insiden letupan kereta api bawah tanah di St Petersburg, Rusia.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, sehingga kini hanya tiga warga negara asing yang terbabit dalam insiden itu.

“Punca letupan masih lagi disiasat oleh pihak berkuasa tempatan.

“Warganegara Malaysia di Rusia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Moscow di talian +7 495 419 9898 atau +7 495 419 9899 atau emel [email protected]," katanya.

Selain itu, mereka juga boleh menghubungi Kementerian Luar di Malaysia di talian 03-88874570 (selepas waktu bekerja) dan 03-8887 4530.

Portal Harian Metro melaporkan seorang lelaki Kyrgyzstan dikenal pasti sebagai penyerang yang menyebabkan letupan dalam kereta api bawah tanah di St Petersburg, Rusia, semalam, yang menyebabkan 14 terbunuh, manakala lebih 50 lagi cedera.

Memetik laporan Reuters, jurucakap perkhidmatan keselamatan Kyrgyzstan mengesahkan lelaki berkenaan, Akbarjon Djalilove, 22, berasal dari negara bekas Soviet itu sebelum mendapat kerakyatan Rusia.

Lelaki itu juga meletakkan satu lagi bom di belakang alat pemadam api dalam gerabak namun bom berkenaan tidak meletup.

Pihak berkuasa Rusia menyiarkan gambar rakaman CCTV suspek menunjukkan dia memakai jaket merah, berkaca mata dan membawa beg sandang di stesen kereta api.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 7:50 PM