MUSTAFI  (kanan) jaring gol penyamaan Arsenal.
MUSTAFI (kanan) jaring gol penyamaan Arsenal.
AFP

London: Pengurus Arsenal Arsene Wenger meluahkan harapan bahawa keputusan seri 2-2 dengan Manchester City akan menjadi titik tolak buat pasukan itu selepas menempuh detik mencabar sepanjang sejarah kelab itu.

Kritikan terhadap Wenger daripada peminat yang berang memuncak sewaktu mereka tewas empat daripada lima perlawanan Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan mereka tergelincir daripada empat tangga teratas.

Biarpun masa depannya masih tidak menentu, beliau berharap aksi ketika menentang City akan membantu kelab itu terus bangkit.

“Secara keseluruhannya saya menganggapnya sebagai ujian mental dan anda boleh melihat pasukan bertambah yakin,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan di Stadium Emirates.

“Ia akan membantu kami membina kembali keyakinan kerana pemain dapat merasai kekuatan mental pasukan. Ia akan membantu kami beraksi di landasan sebenar.

“Secara matematiknya, ia bukan aksi terbaik buat kedua-dua pasukan tapi saya harap ia akan membantu kami bangkit.”

Keputusan itu meletakkan Arsenal tujuh mata di belakang City yang menduduki tangga keempat dan tiket terakhir kelayakan Liga Juara-Juara namun mempunyai kelebihan satu perlawanan.

Peminat sekali lagi melakukan protes terhadap Wenger sebelum perlawanan itu.

Sebuah van pengiklanan membawa poster besar yang menuntutnya meletakkan jawatan diletakkan di tempat letak kereta berhampiran stadium itu manakala risalah turut diberikan kepada penyokong, menggesa mereka menyertai briged ‘Singkir Wenger’.

Arsenal ketinggalan pada minit kelima apabila Leroy Sane menyambut hantaran Kevin De Bruyne dan berjaya memperdayakan David Ospina sebelum meledak jaringan.

Theo Walcott menyamakan kedudukan, namun Sergio Aguero kembali meletakkan City di depan 131 saat kemudian tetapi Shkodran Mustafi memberi gol penyamaan Arsenal menerusi tandukan hasil sepakan sudut Mesut Ozil pada minit ke-53.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2017 @ 8:20 AM