London: Pengurus Arsenal Arsene Wenger berkata pasukannya belum bersedia secara fizikal untuk musim Liga Perdana Inggeris selepas memulakan kempen musim ini dengan kekalahan 3-4 kepada Liverpool.

Berikutan kecederaan Per Mertesacker dan Gabriel serta keadaan Laurent Koscielny yang belum cukup cergas, Wenger terpaksa menurunkan Calum Chambers, 21, dan Rob Holding, 20, untuk penampilan pertamanya sebagai bek tengah pada perlawanan kelmarin.

Seperti juga Koscielny, Olivier Giroud dan Mesut Ozil belum cukup cergas selepas mengharungi Euro 2016 dan bagi memburukkan lagi keadaan, Aaron Ramsey (gambar) dan Alex Iwobi terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada separuh masa pertama.

“Secara fizikalnya kami belum bersedia,” kata Wenger di Stadium Emirates.

“Anda berada dalam situasi getir dengan adanya Euro. Adakah anda memberikan pemain rehat dan memulakan musim tanpa ramai pemain atau mungkin mereka bermain dalam perlawanan seperti ini dan cedera seperti Ramsey hari ini?

“Kami mempunyai ramai pemain yang bermain lebih lama ketika Euro. Ramsey, Koscielny, Ozil, Giroud, mereka melangkah ke separuh akhir (sekurang-kurangnya). Kami ada empat pemain yang beraksi lebih lama.”

Arsenal bertandang ke laman juara bertahan Leicester City, Sabtu ini dan Wenger tidak pasti sama ada Koscielny, Ozil dan Giroud sedia kembali beraksi di Stadium King Power.

“Kami akan cuba tetapi apabila mereka tidak mempunyai persediaan yang cukup, mereka cedera,” katanya.

“Kami perlu bersedia minggu depan kerana kami berkunjung ke Leicester tetapi kita akan lihat dulu apa yang boleh dilakukan terhadap pemain yang membuat persiapan ketika ini dan berapa ramai yang cedera hari ini.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 10:21 AM